4 syarikat terima lesen bersyarat laksana Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) kurangkan beban PUSPAKOM

FOTO BERITA: Sidang Media berkenaan inisiatif penambahan kapasiti Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) oleh Menteri Pengangkutan YB Anthony Loke Siew Fook di Bilik Sidang Media, Aras 10, Kementerian Pengangkutan, Putrajaya. 16 Julai 2025 (Rabu)

Susulan isu kesesakan yang semakin meruncing di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM), Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) hari ini mengambil langkah proaktif dengan memperkenalkan inisiatif baharu melalui pelantikan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Motor (PPKM) tambahan yang khusus bagi menjalankan Pemeriksaan Tukar Hak Milik Kenderaan Persendirian (M.V.15).

Menurut Menteri Pengangkutan, YB Anthony Loke Siew Fook, pelaksanaan inisiatif ini adalah sebahagian daripada strategi jangka panjang kementerian untuk mempertingkat kecekapan sistem sedia ada serta memberi kemudahan kepada rakyat. “Kita sedar isu kesesakan di PUSPAKOM khususnya bagi pemeriksaan tukar hak milik kenderaan persendirian telah menimbulkan ketidakselesaan kepada pengguna. Oleh itu, MOT mengambil langkah ini untuk menambah kapasiti pemeriksaan, mengurangkan beban di PUSPAKOM serta menyediakan lebih banyak pilihan kepada rakyat,” ujar beliau.

Untuk fasa pertama pelaksanaan, tujuh (7) syarikat telah ditawarkan lesen bersyarat bagi menyediakan perkhidmatan pemeriksaan M.V.15, dan setakat ini empat (4) syarikat telah mengesahkan penerimaan tawaran tersebut, iaitu, Carro Technology Sdn. Bhd. Carsome Academy Sdn. Bhd. Wawasan Bintang Sdn. Bhd dan Beriman Gold Sdn. Bhd.

Langkah ini juga selaras dengan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri bertarikh 17 Mac 2023, yang telah bersetuju supaya perkhidmatan pemeriksaan kenderaan motor yang diwajibkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 [Akta 333] dibuka kepada syarikat-syarikat lain yang berkelayakan selain PUSPAKOM.

Menurut YB Menteri, pelantikan ini diberikan secara bersyarat dan tertakluk kepada pematuhan terhadap Garis Panduan Pemberian Lesen Pengoperasian PPKM, antaranya termasuk, syarikat berstatus Sendirian Berhad dengan modal berbayar minimum RM1 juta serta pemilikan tempatan sepenuhnya, penyediaan cadangan lokasi operasi yang tertakluk kepada kelulusan MOT dan JPJ, keperluan infrastruktur lengkap, peralatan pemeriksaan, serta integrasi sistem MySIKAP; dan pemeriksa Kenderaan Motor (PKM) perlu memiliki pentauliahan kompetensi JPJ sebelum memulakan tugas.

“Kita juga memberi perhatian terhadap potensi konflik kepentingan sekiranya syarikat yang dilantik turut terlibat dalam urusan jual beli kenderaan. Maka, mereka diwajibkan menyediakan lorong khas, kakitangan khas serta memenuhi piawaian antarabangsa ISO/IEC 17020:2012,” tambah YB Menteri.

Tempoh kelulusan bersyarat yang diberikan adalah selama 12 bulan bagi tujuan persediaan. Dalam tempoh ini, JPJ akan memantau pelaksanaan secara berterusan, dan Lesen Operasi penuh hanya akan diberikan setelah semua syarat dipatuhi.

YB Menteri menegaskan bahawa peluasan PPKM ini juga merupakan sebahagian daripada dasar kerajaan dalam mereformasi sistem pemeriksaan kenderaan – daripada model konsesi pemain tunggal kepada sistem pelesenan pelbagai pemain – untuk meningkatkan persaingan sihat dan menjamin kualiti perkhidmatan.

“Langkah ini bukan untuk menamatkan peranan PUSPAKOM, sebaliknya untuk melengkapkan sistem pemeriksaan negara yang lebih cekap, telus dan mesra rakyat. Matlamat utama kita adalah keselamatan jalan raya dan keselesaan pengguna,” tegas beliau lagi.