Hati-hati menunggang nanti nampak bangang – Rafizi perli Pas

Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli memberi teguran pedas kepada pembangkang yang menurutnya cuba menangguk di air keruh dalam isu kemelut badan kehakiman.

Beliau membangkitkan perubahan pendirian berulang kali oleh Pas dalam tempoh seminggu berhubung cadangan penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat dakwaan campur tangan dalam institusi kehakiman.

“Dalam masa seminggu, Pas ada tiga pendirian berbeza mengenai kemelut badan kehakiman yang menjadi tumpuan masyarakat.

“Mula-mula, Tuan Ibrahim Tuan Man menetapkan syarat saya kena turun himpunan mereka sebelum Ahli Parlimen PN menyokong syor saya agar satu RCI ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan campur tangan dalam badan kehakiman.

“Selepas kena kecam dengan rakyat, Fadhli Shaari pula sebut itu bukan pendirian Pas. Pas sebenarnya menyokong cadangan saya.

“Sehari selepas itu, Takiyuddin Hassan pusing lagi kata pembangkang menolak cadangan itu,” katanya di Facebook.

Rafizi menyindir pendekatan Pas yang sering mengambil sikap mengikut keadaan demi kepentingan politik.

“Dalam seminggu, Pas berubah pendirian 3 kali. Ini mirip kepada kebolehan Pas menjatuhkan hukuman yang berbeza-beza mengikut keadaan, asalkan boleh tunggang,” katanya.

Beliau berkata, isu kebebasan badan kehakiman sepatutnya menjadi perhatian semua pihak tanpa mengira keuntungan politik.

Namun pada akhirnya kata Rafizi, yang lebih lantang bersuara adalah backbencher kerajaan kerana pembangkang hanya berminat untuk tebuk atap supaya mereka boleh menjadi menteri semula.

“Memang susah untuk tidak menunggang kalau satu-satunya strategi politik yang ada adalah menunggang. Tapi hati-hati, kalau Pas salah tunggang, nanti nampak bangang,” ujarnya.

BACA JUGA Di mana intelektualisme Hadi dalam menilai ekonomi negara?