Himpunan bantah Nick Adams esok di hadapan kedutaan AS
Satu himpunan dijangka akan diadakan esok di hadapan Kedutaan Besar Amerika Syarikat sebagai bantahan terhadap pelantikan Nick Adams, calon Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia.
Himpunan yang dinamakan “Himpunan Bantah Nick Adams” itu dijadualkan bermula pada jam 2 petang, sejurus selepas solat Jumaat.
Menerusi satu poster tersebar, gambar Nick Adams disertakan simbol pangkah merah melintasi mukanya serta hashtag #BantahNickAdams sebagai seruan utama protes.
Tidak pasti siapa penganjur acara, namun poster himpunan dimuat naik oleh Maszlee Malik di X.
Setakat hari ini pencalonan Adams telah dibantah daripada pelbagai parti, pertubuhan masyarakat sivil, aktivis dan tokoh awam tempatan sejak namanya diumumkan oleh Presiden AS, Donald Trump minggu lalu.
Dia bakal menggantikan Edgard Kagan, diplomat kerjaya yang dicalonkan oleh bekas presiden AS Joe Biden pada Mei 2023.
Adams terkenal dengan hantaran media sosial yang berunsur Islamofobia.
Dia juga secara terbuka menyokong Zionis Israel. Bekas menteri kesihatan, Khairy Jamaluddin sebelum ini pernah berkongsi satu hantaran oleh Adams tahun lalu, yang mendakwa dia berjaya memecat seorang pelayan restoran yang memakai lencana “Free Palestine”.
BACA JUGA Hati-hati menunggang nanti nampak bangang – Rafizi perli Pas