Pelantikan Ketua Hakim Negara bukan jawatan boleh ‘ditebuk atap’ – Syam Ghaz
Aktivis politik, Syam Ghaz tampil menjelaskan sebab kelewatan pelantikan Ketua Hakim Negara yang menjadi persoalan ramai, terutama dalam kalangan pembangkang.
Menurutnya, proses pelantikan tertinggi dalam sistem kehakiman negara tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya kerana ia tertakluk kepada prosedur perundangan yang ketat, berbeza dengan pendekatan ‘tebuk atap’ yang pernah berlaku sebelum ini.
“Pelantikan tertinggi dalam sistem kehakiman negara kini jadi perhatian. Tapi jangan silap faham, ini bukan jawatan yang boleh ‘ditebuk atap’.
“Ramai yang keliru atau sengaja buat-buat tak faham tentang bagaimana Ketua Hakim Negara dilantik,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.
Beliau memperincikan langkah-langkah yang perlu dilalui sebelum seseorang boleh dilantik sebagai Ketua Hakim Negara:
1. Surat perakuan rasmi daripada Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC) – mengikut Akta JAC 2009 (Akta 695)
2. Perdana Menteri menyampaikan nama ke Majlis Raja-Raja – mengikut Perkara 122(B)(1) Perlembagaan Persekutuan
3. Perkenan Yang di-Pertuan Agong – mengikut Perkara 122(B)(1) Perlembagaan Persekutuan
4. Surat Cara Pelantikan disediakan dan dimeterai
5. Majlis Angkat Sumpah di Istana Negara
6. Warta rasmi dan pemakluman
7. Serah terima tugas
Syam Ghaz menegaskan, jawatan tertinggi dalam institusi kehakiman bukan jawatan yang boleh ‘diangkat di tepi longkang’ seperti sejarah yang pernah dialami zaman lalu.
Beliau merujuk sejarah hitam badan kehakiman negara apabila institusi itu didakwa pernah diperalatkan demi kepentingan kuasa politik.
1988: Tun Salleh Abas dipecat — kehakiman rebah di tangan eksekutif.
1999: Kes Anwar Ibrahim — mahkamah jadi alat membunuh karier politik lawan.
2018: Tun Mahathir sekali lagi langgar norma — ketepi cadangan JAC dan lonjak nama sendiri.
‘Kini mereka pula menjerit ‘Rule of Law’? Ironi!” katanya lagi.
Tambah beliau, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mempunyai tanggungjawab besar untuk memastikan kezaliman yang menimpanya tidak berulang kepada rakyat lain.
Beliau berkata, jika institusi ini tidak direformasi secara menyeluruh sekarang, maka rakyat akan terus terdedah kepada pengkhianatan kuasa dan ketidakadilan.
Beliau turut memberi peringatan kepada pembangkang agar tidak mempolitikkan institusi kehakiman untuk tujuan sempit.
“Rakyat bertanya: Siapa Ketua Hakim Negara baharu?
“Jawapan kita: Tunggu dengan sabar. Ikut undang-undang. Hormat proses. Kerajaan MADANI tak main lantik ikut “tebuk atap”. Kita bukan seperti kamu dulu. Cap ayam!,” katanya sinis.
BACA JUGA Hati-hati menunggang nanti nampak bangang – Rafizi perli Pas