PM tegaskan pendirian Malaysia, kecam sekeras-kerasnya serangan udara Israel ke atas Syria

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam sekeras-kerasnya serangan udara terbaharu Israel ke atas ibu negara Syria, Damsyik, yang disifatkannya sebagai satu pelanggaran terang-terangan terhadap kedaulatan Syria dan undang-undang antarabangsa.

Dalam kenyataan tegas yang dimuat naik di Facebook hari ini, Anwar menyifatkan tindakan rejim Zionis itu sebagai satu pelanggaran terhadap Perjanjian Pemisahan 1974 antara Israel dan Syria.

“Saya mengecam serangan udara Israel yang terbaru ke atas Damsyik, yang sekali lagi melanggar kedaulatan Syria dan mengorbankan nyawa orang awam.

“Serangan ini jelas merupakan pelanggaran undang-undang antarabangsa dan Perjanjian Pemisahan 1974 antara Israel dan Syria,” katanya.

Anwar menegaskan bahawa rakyat Syria telah menanggung penderitaan yang amat besar sepanjang lebih sedekad konflik yang melanda negara itu, dan menegaskan bahawa mereka berhak menikmati keamanan tanpa sebarang bentuk keganasan atau campur tangan luar.

Malaysia, ujar Anwar, akan terus menyatakan solidariti terhadap rakyat Syria dan menggesa agar semua pihak menghentikan pelanggaran seumpama itu serta kembali kepada prinsip kemanusiaan dan kedaulatan undang-undang antarabangsa.

“Malaysia berdiri teguh bersama rakyat Syria, dan menyeru agar pelanggaran ini dihentikan serta-merta dan supaya komitmen baharu diberikan terhadap prinsip-prinsip kemanusiaan dan keluhuran undang-undang,” tegas beliau.

BACA JUGA Sultan Selangor titah jangan buat spekulasi, tuduhan negatif isu pelantikan hakim