Rakyat Malaysia Bantah Pencalonan Nick Adams Sebagai Duta AS ke Malaysia

FOTO BERITA: Sidang Media oleh Pemuda PKR, AMANAH, DAPSY dan NGO-NGO mengenai Himpunan Bantahan Nick Adams sebagai Duta Amerika Syarikat ke Malaysia di Restoran Amjal, Bangsa, Kuala Lumpur. 17hb Julai 2025 (Khamis)

Gabungan pemuda daripada parti-parti komponen Pakatan Harapan iaitu Pemuda PKR, Pemuda AMANAH, DAPSY, serta wakil-wakil NGO (IKRAM) hari ini mengadakan satu sidang media khas bagi menyatakan pendirian tegas mereka membantah pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia.

Dalam satu kenyataan bersama, gabungan tersebut menyifatkan pencalonan tokoh kontroversi itu sebagai tidak sesuai dan bertentangan dengan nilai-nilai diplomatik dan kemasyarakatan Malaysia, khususnya sebagai sebuah negara majmuk yang menekankan keharmonian, keadilan dan saling menghormati dalam hubungan antarabangsa.

Pencalonan tokoh kontroversi itu sebagai tidak sesuai dan bertentangan dengan nilai-nilai diplomatik dan kemasyarakatan Malaysia, khususnya sebagai sebuah negara majmuk yang menekankan keharmonian, keadilan dan saling menghormati dalam hubungan antarabangsa.

Nick Adams didakwa mempunyai rekod kenyataan berunsur provokatif, merendahkan sensitiviti Islam, serta sokongan terbuka terhadap rejim Zionis yang dikhuatiri boleh menjejaskan hubungan dua hala antara Malaysia dan Amerika Syarikat.

Malaysia mengamalkan dasar luar yang bebas dan berprinsip. Kami tidak menolak hubungan baik dengan mana-mana negara, tetapi kami menolak sekeras-kerasnya mana-mana duta yang tidak menghormati nilai tempatan dan boleh menggugat kestabilan serantau,” tegas kenyataan tersebut.

Gabungan itu turut mengkritik beberapa pandangan Nick Adams yang didakwa bersifat seksis dan melanggar norma kesopanan masyarakat tempatan, menjadikannya calon yang dianggap tidak layak mewakili sebuah negara kuasa besar di bumi Malaysia.

Sebagai langkah susulan, satu himpunan aman akan dianjurkan pada Jumaat, 18 Julai 2025, bermula jam 2:00 petang di hadapan Kedutaan Besar Amerika Syarikat di Kuala Lumpur. Himpunan itu dijangka disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat, dan akan menyaksikan penyerahan memorandum rasmi bantahan rakyat Malaysia kepada pihak kedutaan.

Gabungan itu menyeru agar Kerajaan Amerika Syarikat menimbang semula pencalonan ini dan mencadangkan nama lain yang lebih profesional, sederhana, serta memahami kepentingan kestabilan rantau Asia Tenggara.