Sultan Selangor titah jangan buat spekulasi, tuduhan negatif isu pelantikan hakim
Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah bertitah agar semua pihak tidak membuat sebarang spekulasi atau tuduhan negatif tanpa fakta lengkap terhadap isu pelantikan kehakiman.
Baginda menegaskan kepentingan mematuhi Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan tentang proses dan tatacara pelantikan hakim-hakim kanan mahkamah atasan.
Menerusi satu kenyataan hari ini, baginda memaklumkan bahawa Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 yang dipengerusikan baginda pada semalam telah membincangkan rundingan pelantikan Ketua Hakim Negara, Presiden Mahkamah Rayuan, Hakim Besar Sabah dan Sarawak serta beberapa pelantikan hakim mahkamah atasan.
“Alhamdullilah, Beta memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah kerana mesyuarat ini telah dapat berjalan dengan baik dan lancar.
“Dalam proses rundingan tersebut, Beta telah menekankan tentang keperluan untuk mematuhi setiap peruntukan undang-undang khususnya di bawah Perkara 122B Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan tentang proses dan tatacara pelantikan hakim-hakim kanan mahkamah atasan,” titah baginda.
Sultan Sharafuddin turut menyatakan sokongan terhadap kenyataan Istana Negara bertarikh 10 Julai 2025 yang menjelaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong dalam membuat pelantikan tersebut setelah mendapat nasihat Perdana Menteri dan setelah berunding dengan Majlis Raja-Raja.
“Proses yang telah diperuntukkan di bawah Perlembagaan Persekutuan ini perlu dilaksanakan secara telus dan berhati-hati demi memelihara kedaulatan undang-undang serta mendukung prinsip keadilan yang menjadi teras utama dalam pemerintahan negara
“Sehubungan itu semua pihak diseru supaya mengelakkan dari membuat sebarang spekulasi dan tuduhan negatif tanpa memperolehi fakta yang lengkap dan sahih mengenai sesuatu perkara,” titah baginda lagi.
BACA JUGA Pelantikan Ketua Hakim Negara bukan jawatan boleh ‘ditebuk atap’ – Syam Ghaz