Akhirnya terjawab, bas UPSI dipandu dua kali ganda laju lebihi kelajuan kritikal untuk terbalik

Laporan awal Pasukan Petugas Khas mendedahkan pemandu bas yang membawa penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) sehingga meragut 15 nyawa telah memandu dua kali ganda melebihi had laju ditetapkan.

Analisis kinematik yang dijalankan mendedahkan, kelajuan paling berkemungkinan yang dipandu semasa kejadian adalah pada kelajuan 117 kilometer sejam (km/j), berbanding had ditetapkan iaitu 60km/j.

Kelajuan ini melebihi kelajuan kritikal untuk terbalik iaitu pada 111.3 km/j sehingga 114.5 km/j.

“Berdasarkan urutan kejadian yang direkodkan dalam video dashcam dan
kesan fizikal di lokasi, bas telah tergelincir terlebih dahulu sebelum terbalik.

“Ini menunjukkan kelajuan bas semasa insiden adalah sekurang-kurangnya melebihi kelajuan kritikal untuk tergelincir, dan berkemungkinan besar melebihi kelajuan kritikal untuk terbalik.

“Oleh itu, kelajuan minimum bas semasa kejadian dianggarkan melebihi 111.3 km/j, iaitu paras minimum untuk memungkinkan terjadinya kejadian terbalik dalam situasi geometri selekoh tersebut,” kata laporan tersebut.

Walaupun pemandu mendakwa berlaku kegagalan sistem brek, siasatan setakat ini belum mengesahkan sebarang kerosakan teknikal.

Pemeriksaan awal mengenal pasti tanda-tanda kemungkinan pemanasan melampau pada komponen brek, namun keadaan ini juga boleh berpunca daripada penggunaan brek yang berlebihan atau tidak sesuai.

Sementara itu memetik Harian Metro, selain dipandu laju, beberapa faktor penyumbang yang saling berkait juga meningkatkan risiko kejadian serta tahap keparahan akibat.

Ia termasuklah reka bentuk fizikal jalan di lokasi kejadian yang tidak menyediakan perlindungan mencukupi bagi pemanduan selamat di laluan berbukit dan berselekoh tajam.

“Ketiadaan pembahagi fizikal, garisan tengah yang jelas, serta papan tanda amaran yang mencukupi mengurangkan keupayaan pemandu untuk menjangka risiko dengan lebih awal.

“Penghadang jalan jenis W-beam yang digunakan tidak memenuhi keperluan keselamatan semasa dan kegagalan reka bentuknya menyumbang secara langsung kepada penembusan struktur ke dalam kabin bas, sekali gus meningkatkan keparahan kecederaan,” katanya.

Laporan itu menyatakan, ketiadaan peranti kawalan kelajuan dan pemantauan seperti peranti had laju (SLD) atau GPS aktif pada kenderaan juga menghalang pengesanan awal dan kawalan terhadap kelajuan berlebihan.

“Kelemahan struktur atas bas dan ketiadaan sistem kekangan penumpang seperti tali pinggang keledar turut menyumbang kepada kecederaan yang lebih parah, khususnya apabila berlaku pelanggaran dengan struktur jalan,” menurut laporan itu lagi.

BACA JUGA ‘Pembangkang boleh tutup buku dah’