Himpunan bantah Nick Adams jadi Duta AS selepas solat Jumaat ini
Gabungan sayap parti Pakatan Harapan (PH) akan mengadakan himpunan bantahan pencalonan Nick Adams sebagai Duta Besar Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia pada pukul 2 petang ini.
Himpunan di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS), Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur itu juga akan menyaksikan penyerahan memorandum menolak pemilihan penyokong tegar Israel berkenaan.
Ketua Penerangan Pemuda PKR (AMK), Danish Hairudin, berkata bantahan di hadapan Kedutaan AS itu bertujuan mendesak Washington menarik semula pencalonan Adams dan menggantikannya dengan individu yang lebih sesuai.
Dalam sidang media semalam, beliau berkata, Adams merupakan individu yang sering membuat kenyataan celupar, memecah-belahkan dan provokatif, serta tidak selari dengan norma masyarakat majmuk di Malaysia.
“Dia telah mengeluarkan kenyataan yang menyentuh sensitiviti Islam, menyokong secara terbuka rejim Zionis, serta mengutarakan pandangan yang merendahkan martabat wanita.
“Ini amat tidak wajar bagi seseorang yang akan mewakili AS ke Malaysia,” tegas beliau lagi.
Sebelum ini, sebanyak 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) menggesa kerajaan menggunakan hak kedaulatannya menolak Adams untuk dipertimbangkan sebagai Duta Besar AS ke Malaysia.
Dalam satu kenyataan bersama pada 15 Julai lalu, kesemua NGO terbabit menegaskan bahawa Adams mempunyai rekod membuat kenyataan bersifat provokatif yang tidak selari dengan nilai-nilai Malaysia yang menekankan kesederhanaan, keharmonian pelbagai budaya dan kesopanan dalam diplomasi.
“Ucapan beliau (Adams) yang lalu berkaitan isu kaum, agama, serta hubungan antarabangsa boleh menjejaskan hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan AS selain mencetuskan ketegangan dalam masyarakat majmuk negara ini,” kata kumpulan NGO terbabit menerusi satu kenyataan hari ini.
Antara 20 NGO yang menandatangani kenyataan itu adalah BDS Malaysia, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Viva Palestina Malaysia, Muslim Care Malaysia, Global Peace Mission Malaysia, MyCare, Ikram, Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Persatuan Cinta Gaza Malaysia.

Minggu lalu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan Nick Adams, 40, sebagai calon Duta Besar AS ke Malaysia yang baharu.
Menerusi satu hantaran di platform Truth Social, Trump menyifatkan Adams sebagai seorang nasionalis luar biasa serta usahawan yang sangat Berjaya.
Trump turut memuji komitmen Adams terhadap apa yang digelarnya sebagai ‘Nilai Keunggulan Amerika’.
Adams sebelum ini pernah berbangga telah menekan seorang pelayan restoran di AS sehingga dipecat hanya kerana memakai pin “Free Palestine”.
Dia juga secara terbuka mengisytiharkan orientasi seks dan telah terlibat dalam banyak produksi teater dengan watak gay selain berkongsikan pengalamannya sebagai seorang LGBTQ+.
Dilahirkan pada 5 September 1984 di Sydney, Australia, Adams menjadi warga negara AS pada 2021 dan kini tinggal di Palm Harbor, Florida.
Penyokong tegar Trump itu juga mengundang kemarahaan orang Muslim apabila menghina Islam termasuk menuduh pihak lawan Trump menyokong ‘ajaran Islam di sekolah-sekolah’.
Penulis celupar itu bahkan dikenali dengan ciri ‘alpha male’ yang mengangkat simbol maskuliniti seperti makan stik, kerap ke restoran Hooters dan memperlekeh pemimpin politik lawan.
BACA JUGA Ini yang patut difahami di sebalik pelantikan Ketua Hakim Negara baharu