Ini yang patut difahami di sebalik pelantikan Ketua Hakim Negara baharu
Oleh LIYANA MARZUKI
Pelantikan Ketua Hakim Negara diumumkan secara rasmi tengah malam tadi.
Yang di-Pertuan Agong telah memperkenan pelantikan:
1) Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakim Negara
2) Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan
3) Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Sabah & Sarawak
Majlis angkat sumpah dijadualkan pada 28 Julai di Istana Negara.

Buat pertama kali dalam sejarah pelantikan Ketua Hakim Negara, seluruh prosesnya dilihat dan di-skrutini secara terbuka.
Daripada saringan Suruhanjaya Pelantikan Kehakiman (JAC), pengesyoran Perdana Menteri, perbincangan Majlis Raja-Raja, sehinggalah perkenan Agong, semuanya berlangsung dalam radar rakyat.
Dan yang lebih penting, pengumuman dibuat secara rasmi oleh Istana dan Majlis Raja-Raja.
Bukan bocor. Bukan bisik-bisik tetapi diumumkan dengan penuh tertib.
Dulu, kita pernah dengar bagaimana pelantikan kehakiman dilakukan secara senyap. Tiba-tiba keluar sudah nama. Apa pun sebelum itu, kita tidak tahu mengenainya.
Buktinya? Kita boleh baca dalam RCI kes VK Lingam, ia simpulkan Majlis Raja-Raja (MRR) hanya menjadi pengesah lantikan bukan semak dan imbang sebenar. MRR hanya rubber stamp.
Hari ini, keadaan berbeza.
Jika benar wujud tekanan atau percubaan campur tangan sebelum ini, sudah jadi akademik.
Lantikan terkini menunjukkan institusi masih berfungsi. Semak dan imbang masih live and kicking.
Dan suara rakyat, melalui saluran seperti Majlis Peguam dan badan sivil, masih memberi kesan tinggi.
Dan yang paling penting, ia juga menunjukkan bahawa kerajaan Madani ini, walau dikritik, masih boleh dibentuk dan ditegur bila rakyat bersuara.
Itu salah satu ciri lesser evil kepada negara.
Lebih selamat
Pelantikan kali ini juga bukan nama-nama yang dijangka. Tiada penyambung tempoh. Tiada watak favourite. Ramai anggap ini pelantikan underdog — dan itu bukan perkara buruk.
Dalam sistem yang sedang dipulihkan, kadang-kadang watak yang belum pernah didengar nama, adalah lebih selamat dari watak di pentas utama.
Namun, kebimbangan tetap ada. Datuk Wan Ahmad Farid pernah menjadi Timbalan Menteri Dalam Negeri.
Beliau juga pernah bertanding atas tiket UMNO. Dan pernah menarik diri daripada mendengar kes berkaitan Datuk Seri Najib.
Kini, beliau memegang jawatan kehakiman tertinggi negara.
Maka, apabila ada pengkritik menyuarakan soal potensi kecenderungan terhadap UMNO — itu bukan tuduhan liar. Itu isyarat untuk kekal peka.
Yang memberi sedikit keseimbangan ialah pelantikan Datuk Azizah Nawawi sebagai Hakim Besar Malaya. Pernah jadi hakim minoriti dan dissenting dalam kes bekas Perdana Menteri.
Beliau bukan sahaja bebas tetapi dikenali dalam kalangan rakan guaman dan kehakiman sebagai tokoh yang berintegriti. Suaranya lantang, pendiriannya konsisten.
Ada ciri-ciri My Lady terdahulu. Ini yang kita boleh letak harapan di situ. Internal check and balance akan tetap berlaku.
Dan ini yang kita mahu: Bukan tokoh yang disucikan, tapi sistem yang diperbaiki.
Bukan keputusan yang menyenangkan semua orang, tetapi proses yang boleh dipertahankan.
Kita beri ruang. Kita beri peluang.
Kerana keadilan bukan bergantung kepada seorang personaliti. Tapi keberanian rakyat untuk terus memastikan sistem berjalan atas landasan.
Terus jalankan peranan kita sebagai rakyat yang bukan sekadar mengundi, tapi mengawasi dengan minda yang celik.
*LIYANA MAZUKI merupakan bekas Peguam Kanan Persekutuan, Jabatan Peguam Negara.
BACA JUGA Penyokong Pas ini sudah dipanggil polis gara-gara ‘petik’ nama Majlis Raja-Raja