KPDN bongkar aktiviti sorok 605kg minyak masak paket untuk warga asing
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak berjaya membongkar kegiatan menyembunyikan beratus-ratus kampit minyak masak paket 1 kilogram dalam satu serbuan Op Tiris di Industri Kamunting Aman, Taiping.
Serbuan dibuat ke atas premis milik seorang wanita warga tempatan, yang kemudian didapati memiliki minyak masak satu kilogram (kg) melebihi had lesen yang dibenarkan oleh Pengawal.
Dalam serbuan itu, sebanyak 605 kilogram minyak masak ditemui dalam empat tong ais dan bakul yang disimpan di ruang belakang premis yang dijadikan dapur memasak.
“Kesemua minyak masak paket 1kg tersebut disyaki digunakan sebagai bahan memasak makanan bagi pekerja warga asing yang dikendalikan oleh warga asing dan turut dijual oleh mereka,” katanya.
Beliau berkata, kesemua 605kg minyak masak yang dianggarkan bernilai RM1,512.50 telah pun disita.
Kes disiasat di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974 kerana memiliki barang kawalan melebihi had yang dinyatakan dalam lesen.
“Sabit kesalahan boleh didenda tidak lebih RM1 juta manakala bagi kesalahan berikutnya tidak melebihi RM3 juta bagi orang perseorangan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya,” katanya.
BACA JUGA SKMM kini siasat individu buat hantaran jelik berkait institusi kehakiman