PM harap pelantikan hakim baharu padam fitnah beliau campur tangan
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap fitnah berkait isu pelantikan Ketua Hakim Negara dan hakim-hakim kanan dapat menutup segala fitnah dan keluh kesah yang menjadi polemik sebelum ini.
Anwar berkata dakwaan campur tangan terbukti meleset, selepas berminggu-minggu beliau dikecam dan difitnah.
“Keluhan dan rungutan yang dilemparkan kepada saya selama berminggu-minggu, kritikan, fitnah, tetapi kini, ternyata dakwaan itu benar-benar meleset,” katanya kepada media selepas solat Jumaat tadi.
“Saya harap dengan penjelasan ini dan keputusan dibuat Majlis Raja-Raja yang diperkenan oleh Agong maka padamlah fitnah dan keluh kesah yang berlaku sebelum ini,” tambahnya lagi.
Anwar kemudian berkata beliau berharap isu itu kini dihentikan, dan menegaskan bahawa beliau tidak pernah campur tangan dalam proses kehakiman, dan tidak menggunakan sebarang prerogatif untuk memecat hakim.
“Mereka yang menghina, memfitnah, dan menyumbang kepada krisis kehakiman, biarlah jelas, saya tidak memecat mana-mana hakim, saya tidak menukar mana-mana hakim sesuka hati, dan saya tidak campur tangan dalam sebarang keputusan.
“Saya tidak mengeluarkan arahan kepada Ketua Hakim Negara atau kepada mana-mana hakim Mahkamah Rayuan, seperti yang pernah berlaku pada masa lalu,” katanya.
Terdahulu Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim perkenan untuk melantik Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh sebagai Ketua Hakjm Negara baharu.
Seri Paduka Baginda membuat keputusan itu atas nasihat Perdana Menteri dan selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja
Sultan Ibrahim turut memperkenankan pelantikan Datuk Abu Bakar Jais sebagai Presiden Mahkamah Rayuan. Manakala Datuk Azizah Nawawi pula sebagai Hakim Besar Mahkamah Tinggi di Sabah dan Sarawak.
BACAJUGA Akhirnya terjawab, bas UPSI dipandu dua kali ganda laju melebihi kelajuan kritikal untuk terbalik