Pelantikan Ketua Hakim Negara: Satu langkah beradab, berperlembagaan, menjunjung kedaulatan Raja-Raja Melayu

Perisytiharan perlantikan Datuk Wan Ahmad Farid sebagai Ketua Hakim Negara diumumkan oleh Pejabat Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan, setelah mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong.

Isu ini pada asalnya telah menimbulkan pelbagai reaksi yang lebih banyak yang dicemari oleh spekulasi, tohmahan, dan tuduhan yang berniat jahat terhadap Perdana Menteri, khususnya daripada pembangkang serta individu berkepentingan yang menjadikan sistem kehakiman sebagai medan politik.

Namun, kebenaran yang perlu ditegaskan ialah: Pelantikan ini adalah sah, berperlembagaan, beradab, dan menghormati Institusi Diraja serta sistem demokrasi berparlimen yang diamalkan di Malaysia.

Inilah kebijakan Institusi Diraja Malaysia yang sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat dan negara, sekaligus menolak amalan spekulatif serta tuduhan negatif isu perlantikan hakim.

1. Prosedur Pelantikan: Menepati Perlembagaan dan Adab Ketatanegaraan

Perkara 122B(1) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Ketua Hakim Negara dilantik oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri selepas berunding dengan Majlis Raja-Raja.

Inilah yang dilakukan oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau mengangkat amalan terbaik dalam perlembagaan dan adab kenegaraan dengan tidak mengumumkan sewenang-wenangnya.

Sebaliknya menasihati Seri Paduka Baginda secara tertib dan merujuk kepada Majlis Raja-Raja terlebih dahulu.

Berbeza dengan beberapa pelantikan era terdahulu yang mengejutkan dan menimbulkan polemik ketelusan, pelantikan ini dijalankan secara berhati-hati, beretika, dan menghormati sistem raja berperlembagaan.

2. Fitnah dan Tohmahan Tidak Berasas: Pembangkang Main Politik Murahan

Golongan pembangkang dan suara-suara seperti kumpulan yang digelar “Kumpulan 9 Rafizi Ramli”, serta tokoh seperti Latheefa Koya, seolah-olah menghidupkan semula budaya tidak sihat yang memperlekeh dan menggugat institusi perundangan negara.

Mereka mendakwa kononnya terdapat konflik kepentingan, pengaruh politik, dan pencabulan prinsip pengasingan kuasa—tanpa sebarang bukti sahih.

Ironinya, Latheefa Koya sendiri pernah dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM dalam kerajaan terdahulu secara mengejut dan di luar kebiasaan institusi—bukan dari kalangan penjawat awam dan bukan penjawat tetap SPRM, dan mungkin juga tidak melalui proses pencalonan konvensional.

Pelantikannya, walaupun sah ketika itu, tidaklah melalui mekanisme institusi yang telus seperti yang dilaksanakan oleh Perdana Menteri kini.

Mungkin beliau lupa (sebagaimana pelupanya Perdana Menteri waktu itu yang pernah mengangkat nama beliau).

Sedangkan termaktub kuasa dan prerogatif seseorang perdana menteri yang beliau gesa untuk lucutkan sekarang, adalah kuasa yang sama yang telah digunakan untuk melantik beliau sebagai ketua pesuruhjaya SPRM.p

Persoalannya, sewaktu dilantik sebagai ketua SPRM, mengapa Latheefa tidak menggesa Dr Mahathir untuk lucutkan kuasa beliau sebagai perdana menteri daripada sebarang pengaruh dalam pelantikan hakim mahupun SPRM?

Adakah kerana ketika itu kuasa tersebut menguntungkan sesetengah pihak? Adakah beliau lupa akan precedennya sendiri? Apakah ini bukan hipokrasi yang jelas?

3. Kelayakan dan Kewibawaan Datuk Wan Ahmad Farid Tidak Wajar Dipersoal

Datuk Wan Ahmad Farid merupakan seorang tokoh perundangan yang berpengalaman luas, berintegriti tinggi dan dikenali dalam kalangan pengamal undang-undang sebagai figura yang tegas dan profesional.

Beliau bukan individu partisan, dan rekodnya sebagai bekas Hakim Mahkamah Rayuan, peguam kanan, serta tokoh akademik perundangan memperlihatkan kelayakan yang tidak dapat dipertikaikan.

Pembangkang yang mempertikaikan latar belakang beliau berdasarkan khabar angin atau sejarah politik lama telah mengabaikan realiti bahawa ramai Ketua Hakim terdahulu juga mempunyai sejarah perkhidmatan awam yang pelbagai, termasuk dalam politik.

Apa yang utama ialah kewibawaan, ketelusan, dan profesionalism, bukan latar belakang politik semata-mata.

Pelantikan ini dengan perkenan Yang diPertuan Agong tidak perlu dipolitikan lagi oleh semua pihak terutama pembangkang yang cuba menangguk di air keruh dengan beranggapan rakyat tidak mempunyai maklumat dan pengetahuan terhadap proses pelantikan berasaskan perlembagaan.

4. Perdana Menteri: Simbol Adab Kenegaraan dan Keteguhan Prinsip

Sikap Perdana Menteri yang tidak melatah, tidak menjawab dengan gelojoh dan tidak tunduk kepada tekanan jalanan mahupun suara minoriti yang bising menunjukkan keperibadian negarawan yang memahami sempadan kuasa eksekutif dan kehakiman.

Beliau tahu bahawa sebarang kenyataan terburu-buru boleh mencemar martabat Institusi Diraja dan sistem keadilan negara.

Salute harus diberikan kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang bukan sahaja menunjukkan kebijaksanaan politik, tetapi juga menjunjung tinggi prinsip rukun negara — Kesetiaan kepada Raja dan Negara serta Keluhuran Perlembagaan.

Inilah watak pemimpin yang memahami nilai sebenar demokrasi berperlembagaan. Bukan tunduk pada suara populis, tetapi mempertahankan institusi.

5. Serangan Terhadap Institusi Kehakiman Adalah Serangan Terhadap Negara

Tindakan mempertikai dan mempolimikan pelantikan Ketua Hakim Negara bukan sahaja mencemar reputasi peribadi tokoh yang dilantik, tetapi turut mencemarkan wibawa Mahkamah Persekutuan, sistem kehakiman, dan prinsip kedaulatan undang-undang.

Sekiranya amalan ini diteruskan oleh pembangkang atau suara-suara kononnya ‘reformis’ tetapi sebenarnya oportunis, negara ini akan menuju ke arah ketidakstabilan institusi.

Adakah kita mahu sistem kehakiman ditentukan oleh tekanan media sosial dan NGO partisan?

Penutup: Malaysia Perlukan Pemimpin Yang Teguh dan Institusi Yang Kukuh

Dalam zaman di mana persepsi mudah dibentuk dan kebenaran sering dikaburkan oleh suara-suara bising yang tidak berakar kepada fakta, rakyat Malaysia harus berwaspada.

Isu seperti pelantikan Ketua Hakim Negara bukan urusan politik murahan—ini adalah soal kedaulatan negara, keluhuran undang-undang, dan maruah sistem kehakiman.

Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menunjukkan teladan dalam melaksanakan pelantikan penting ini dengan penuh adab, tertib dan menjunjung semangat Perlembagaan.

Ia harus menjadi contoh, bukan diputar belit demi keuntungan politik sesetengah pihak.

Kita berdiri bersama Perdana Menteri, bersama sistem perundangan dan bersama Institusi Raja-Raja Melayu.

Penulis, Dr. ShahNor merupakan Felo Utama Akademi Sains Islam, Jordan.