Pempengaruh ‘hilang’ rupa-rupanya lari ke negara jiran, berkomplot buat laporan palsu
Seorang pempengaruh yang sebelum ini dilaporkan hilang sehingga mencetuskan usaha mencari dan menyelamat oleh pihak berkuasa, rupa-rupanya telah berkomplot dengan adiknya sendiri untuk membuat laporan palsu mengenai kehilangannya.
Dalam kenyataan media hari ini, Ketua Polis Daerah Muar, ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz mendedahkan, pempengaruh yang dikenali sebagai Tengku Nizaruddin Tengku Zainudin, 38, itu sebenarnya telah melarikan diri ke negara jiran.
Laporan kehilangan dibuat adik mangsa, Tengku Abd Aziz, 30, di Balai Polis Lenga pada 15 Julai lalu, kononnya abangnya hilang ketika dalam perjalanan dari Lenga ke Muar untuk membaiki kenderaan.
“Mangsa, Tengku Nizaruddin sebelum itu dikatakan hilang selepas memaklumkan bahawa dia dalam perjalanan ke Muar untuk membaiki kenderaan.
“Adiknya tampil membuat laporan polis di Balai Polis Lenga sehingga membawa kepada pelancaran operasi mencari dan menyelamat (SAR),” katanya.
Namun, hasil siasatan mendapati terdapat keraguan terhadap laporan yang dikemukakan dan polis percaya kehilangan tersebut telah direka.
“Mangsa dipercayai menenggelamkan kereta milik isterinya di Sungai Tui, Lenga, sebelum melarikan diri ke negara jiran.
“Adik mangsa mengesahkan bahawa dia turut bersubahat dan berpura-pura menjalankan usaha pencarian bagi mengaburi siasatan polis,” kata Raiz.
Kedua-dua individu terbabit kini disiasat di bawah Seksyen 182 dan Seksyen 109 Kanun Keseksaan kerana memberikan maklumat palsu kepada penjawat awam serta bersubahat melakukan kesalahan.
Jika disabitkan, mereka boleh dihukum penjara sehingga enam bulan, denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali.
“Tindakan membuat laporan palsu merupakan kesalahan serius yang boleh menjejaskan tugasan serta sumber kepolisan, yang seharusnya ditumpukan kepada kes-kes sebenar dan kecemasan,” tegas Raiz lagi.
Polis mengingatkan orang ramai agar tidak menyalahgunakan sistem laporan polis untuk kepentingan sendiri atau jenayah, dan memberi amaran tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang melanggarnya.
BACA JUGA Pas kutip derma ketika himpunan di Kedah cetus pertikaian