Pemuda Pas tak tahu pertemuan diadakan Mahiaddin

Pemuda Pas tidak mengetahui mengenai pertemuan rentas parti yang diadakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Mahiaddin Md Yassin semalam.

Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden berkata, beliau tidak tahu apa yang sebenarnya berlaku di sebalik pertemuan itu, namun mengatakan bahawa Pas pasti akan hadir sekiranya dijemput.

“Saya tiada maklumat mengenai pertemuan itu, mungkin maklumatnya ada pada pimpinan utama parti tapi bukan dari peringkat Pemuda.

“Saya tak tahu apa yang berlaku di sebalik pertemuan itu, secara pentadbiran teknikalnya saya tak pasti, tapi saya rasa kalau Pas hadir lebih memperkuatkan pertemuan itu.

“Saya rasa Pas akan hadir kalau dijemput,” katanya dalam sidang media selepas merasmikan Muktamar Pemuda Pas Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Semalam tiada seorang pun pemimpin Pas yang hadir pada pertemuan diketuai Mahiaddin bersama ketua-ketua parti blok bukan kerajaan

Menerusi hantaran di Facebook, Mahiaddin memaklumkan pertemuan dibuat bagi mendapatkan pandangan tentang penubuhan sebuah barisan rentas parti yang akan mengambil pendirian bersama dalam isu berkaitan kepentingan rakyat dan negara.

Beliau cuma menyebut beberapa nama yang hadir dalam posting beliau, dan tiada satu pun wakil Pas.

BACA JUGA Pempengaruh ‘hilang’ rupa-rupanya lari ke negara jiran, berkomplot buat laporan palsu