Beza pengundi idealis dan realis, belajar beza antara mimpi dan strategi
Oleh LIYANA MARZUKI
“Semua sama saja. Saya taknak mengundi.”
Ayat ini saya nampak dalam media social berulang kali.
Perasaan ini bukan baharu. Perasaan muak politik sudah ditulis berkurun lama.
2,400 tahun lalu, Plato menyebut:
“Hukuman bagi mereka yang tidak peduli politik, ialah diperintah oleh yang lebih teruk daripada mereka”.
Ya, saya faham perasaan menyampah itu. Saya pun bermula sebagai idealis.
Kita melihat politik dengan harapan. Mahu lihat negara berubah, pemimpin telus dan janji janji dikotakan.
Tapi lama-lama saya sedar, politik ini bukan taman bunga. Ia padang lumpur. Penuh helah, manipulasi dan ‘game’ kotor.
Lama-lama, idealisme kita mula retak. Kita letih. Kita muak. Kita mula rasa semua pun lebih kurang samalah!
Tapi di sinilah saya belajar satu perkara penting:
Politik bukan utopia.
Kalau kita nak tunggu semua sempurna baru nak bertindak, sampai kiamat pun tak bergerak.
Mimpi dan strategi
Saya mula Nampak walau ramai pemimpin serupa ‘hampeh’ masih ada yang ikhlas, yang benar-benar mahu menyumbang.
Cuma mereka ini senyap, tidak viral, tidak pandai berdrama dan sering kali tenggelam.
Sebabnya kita terlalu sibuk mencari perfection (atau level maksum) hinggakan tidak nampak ramai yang berfungsi, sebenarnya.
Sebagaimana pemimpin kena jadi realis dalam memimpin, pengundi pun kena jadi realis dalam memilih.
Bukan bermaksud buang idealisme kita tapi belajar beza antara mimpi dan strategi.
Beza antara PENGUNDI idealis dan realis:
❌ Idealis tunggu calon sempurna.
✅ Realis cari siapa yang lebih kecil mudaratnya.
❌ Idealis bila kecewa, tarik diri.
✅ Realis bila kecewa, tukar taktik.
❌ Idealis anggap undi itu endorsement.
✅ Realis tahu undi itu pertahanan, dari yang lebih bahaya naik tanpa lawan.
❌ Idealis nak yang menang bersih suci murni, atau tobat lohom taknak mengundi.
✅ Realis tahu, kadang mereka bermain dalam sistem yang kotor, supaya sistem tu tak jatuh ke tangan yang lebih teruk.
❌ Idealis suka cakap, “Aku tak nak terlibat.”
✅ Realis tahu, bila kita undur, orang lain sedang ambil tempat.
Kita tidak boleh terlalu nak benda suci, bila terciduk akan jadi jatuh tak peduli.
Kuncinya: jadi pengundi yang sedar, bukan pengundi yang berserah.
Kita mengundi bukan untuk cari nabi,
Tapi sistem yang masih boleh ditegur bila terlari.
Bukan tokoh bersih suci murni,
Cukup yang tak hancurkan hak asasi.
Kita tak pilih yang tak pernah salah,
Tapi yang masih gentar bila rakyat marah.
Yang tahu kuasa itu amanah,
Bukan lesen untuk menyamun dengan gagah.
Kerana dalam dunia penuh propaganda
dan tipu daya,
Realist bukan bermakna kita redha.
Realist itu orang yang sedar ada bahaya,
Lalu bertindak, walau suaranya kecil sahaja.
BACA JUGA PN retak tiada hala tuju, berebut kuasa tanpa agenda rakyat