Iran guna Beiduo selepas campak GPS, ini yang kita boleh pelajari

Oleh DATUK NIK MOHD HASYUDEEN YUSOFF

Selepas serangan mengejut Israel ke atas Iran, Iran mengambil langkah strategik mematikan sistem yang menggunakan GPS (Global Positioning System) dan menukarnya kepada sistem Beiduo dari China.

Selepas itu, kita nampak serang balas Iran ke atas Israel dengan menggunakan pelbagai misil agak tepat dan mengena sasarannya.

GPS dimiliki dan dijalankan oleh kerajaan Amerika Syarikat (AS) melalui Angkatan Angkasanya (Space Force). Ini bermakna sekiranya kita menggunakan GPS, setiap maklumat pergerakan kita sampai ke AS.

Mungkin inilah yang digunakan oleh Israel untuk mensasarkan serangan ke atas pemimpin ketenteraan dan juga ahli-ahli sains Iran pada awal peperangan.

Bukanlah rahsia Israel dibantu oleh pelbagai syarikat global yang lain termasuk tuan tanah kita ini.

Sebenarnya, ada beberapa sistem penjejakan lokasi dan navigasi lain di dunia seperti Glonass milik Russia dan Galelio milik Eropah.

Sistem-sistem ini menggunakan sekumpulan satelit yang mengelilingi dunia yang merekodkan data pergerakan objek-objek yang dijejaki.

Seperti yang kita maklum, walaupun AS mempunyai pelbagai jenis sistem, banyak yang telah usang dan terkebelakang daripada segi teknologi.

Sebagai contoh, sistem SWIFT yang digunakan untuk menguruskan pergerakan dana di seluruh dunia tidak boleh menandingi CIPS (Cross-Border Interbank Payment System) dari China. Cuma penggunaan SWIFT lebih menyeluruh sekarang ini.

Dalam peperangan India-Pakistan, India cuba menafikan kehilangan lima jet pejuangnya. Jet-jet pejuang India ditembak jatuh oleh jet-jet pejuang JF10 buatan China.

Apa yang menariknya, sistem Beiduo yang digunakan oleh China lebih canggih dan dinamik daripada GPS untuk mengesan musuh.

Jadi, mungkin sistem yang digunakan oleh jet-jet JF10 itu membolehkan serangan dibuat dari jarak jauh ke atas jet-jet India.

Sebenarnya kita di sini pun boleh menggunakan sistem navigasi Bieduo sekiranya telefon bimbit kita mengizinkannya.

Disebabkan peperangan dagang, ada telefon-telefon AS yang menghalang penggunaan sistem China, dan sebaliknya juga.

Jika kita lihat apa yang terjadi di Iran, memang ada risiko sekiranya kita bergaduh dengan tuan sistem atau anak emas dia.

Apa yang kita boleh pelajari?

1) Jika kita tidak ada teknologi sendiri, kita hanya mampu bergantung kepada orang lain termasuk di dalam perkara-perkara strategik dan sensitif.

2) Teknologi membolehkan sesuatu negara mempengaruhi negara-negara lain di dalam pelbagai bidang termasuk ekonomi

3) Sekadar menjadi pempengaruh tidak menjamin keunggulan negara sekiranya bilangan pelajar-pelajar sains di peringkat SPM semakin kurang.

Kita tak boleh terlalu syok dengan perkara yo-ya, yo-ya sehingga melupakan keperluan membina negara dengan penuh strategik dan menjadikan rakyat lebih bergeliga otaknya.

*DATUK NIK MOHD HASYUDEEN YUSOFF merupakan Ahli Lembaga Pengarah Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) serta bekas Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Tabung Haji (TH).

BACA JUGA Ulama Kelantan mahu Anwar kekal PM tapi anak pula ‘perbetul’ maksud ucapan