Pas tak hadir sebab inikah? Ini ramalan Puad Zarkashi
Pas tidak menghadiri pertemuan dengan parti-parti pembangkang di luar Perikatan Nasional kerana berbeza pendirian berkenaan Konvensyen Antarabangsa Penghapusan Diskriminasi Kaum (ICERD), ramal anggota Majlis Tertinggi Umno, Datuk Puad Zarkashi.
“Ketua Penerangan Bersatu terpaksa bersilat untuk jelaskan kenapa wakil Pas tidak hadir perjumpaan santai-bantai di kedai kopi. Bukan semakin terang tetapi semakin gelap. Elok Tun Faisal ini kita panggil sebagai Ketua Penggelapan Bersatu.
“Pas tidak dijemput kerana Bersatu mahu jemput parti Urimal di bawah P Ramasamy dan parti MAP di bawah Wytha Morthy. Ini dua parti yang kuat menyokong ICERD yang ditentang oleh Pas.
“Itu punca Pas tidak dijemput. Kalau dijemput pun Pas tidak akan datang. Masalahnya bukan soal jemput atau tidak dijemput. Soalnya kenapa Pas tidak boleh hantar wakil kalau santai bantai itu penting,” katanya dalam satu hantaran Facebook.
Malaysia pernah menyatakan hasrat menyertai ICERD di bawah pentadbiran Perdana Menteri ketujuh, Tun Dr Mahathir Mohamad namun penentangan kuat dari Umno dan Pas ketika itu membawa kepada Malaysia menarik diri dari menyertai konvensyen tersebut.
Puad juga memberikan satu lagi alasan untuk ketidakhadiran Pas.
“Pas tidak mahu hantar wakil kerana pertemuan itu tidak diputuskan oleh Majlis Tertinggi PN. Pelik juga resolusi pertemuan di kedai kopi itu akan dibentang dalam mesyuarat PN
“Adakah itu bermakna mesyuarat di kedai kopi dianggap “second class” kerana dihadiri oleh parti nyamuk? Hebat Bersatu. Kerana gagal dapat DAP, P Ramasamy dan Wytha Morthy sudah memadai sebagai ganti.”
Pertemuan yang diketuai oleh presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin tersebut turut melibatkan penyertaan parti Melayu seperti Parti Bumiputera Perkasa Malaysia, pimpinan Datuk Ibrahim Ali.
BACA JUGA: Misteri ketidakhadiran Pas ketika Bersatu mengundang parti di luar blok kerajaan, pembangkang