AMANAH sokong ketegasan Anwar dalam rundingan tarif AS, yakin langkah tepat pertahan ekonomi negara

AMANAH menyatakan sokongan penuh terhadap ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam rundingan tarif bersama Amerika Syarikat (AS), khususnya dalam mempertahankan dasar-dasar yang melindungi kepentingan syarikat tempatan dan kedudukan istimewa Bumiputera.

Setiausaha Agungnya, Muhammad Faiz Fadzil berkata, ketegasan Anwar untuk tidak tunduk kepada tekanan asing merupakan satu langkah tepat bagi menjaga kedaulatan negara serta memperkasakan ekonomi nasional.

“Perlu ditegaskan bahawa tarif ini perlu menguntungkan kedua-dua pihak dan bukannya AS sahaja.

“Malaysia tidak harus kehilangan kedaulatan ekonominya hanya untuk memuaskan hati salah satu rakan dagangnya.

“Malaysia tidak perlu memberikan akses penuh ekonomi Malaysia kepada AS hanya kerana ancaman tarif 25%. Malaysia bukan seperti sesetengah negara lain.” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas tindakan Anwar yang secara terbuka menolak sebarang campur tangan asing dalam dasar ekonomi domestik, termasuk cadangan supaya Malaysia melonggarkan dasar protempatan demi mengelak tarif tinggi dari AS.

Menurut Faiz, rundingan perdagangan sepatutnya memberikan manfaat kepada kedua-dua pihak, bukan berpihak hanya kepada kuasa besar seperti Amerika Syarikat.

Pada masa yang sama, beliau menegaskan bahawa Malaysia juga memiliki nilai strategik tinggi yang menjadikannya penting kepada AS, termasuk dari segi kedudukan geopolitik serta peranan negara ini dalam rantaian bekalan global.

“Seperti yang dilaporkan oleh Financial Times, satu daripada lima cip semikonduktor yang diimport oleh AS datang dari Malaysia.

“Malaysia adalah pengeksport ke-6 terbesar dunia. Bukan itu sahaja, kedudukan strategik Malaysia di Selat Melaka adalah amat penting bagi pengaruh geopoplitik AS dan perdagangan Timur-Barat,” tambahnya.

Beliau turut mengingatkan bahawa dasar tarif tinggi seperti yang diamalkan semasa pentadbiran Donald Trump bukan sahaja akan menjejaskan rakan dagang seperti Malaysia, malah turut memberi kesan negatif terhadap ekonomi AS sendiri.

“Malaysia mempunyai pelbagai kelebihan strategik yang tidak dimiliki oleh negara-negara lain dan AS akan terus menikmati kelebihan-kelebihan ini jika ia berusaha menjaga hubungan dua hala yang baik.

“Ekonomi AS juga akan terkesan jika Trump mengekalkan tarif yang tinggi terhadap pasaran import, termasuk Malaysia,” ujarnya.

Dalam kenyataan itu, Faiz menyifatkan ketegasan kerajaan sebagai petunjuk bahawa pentadbiran Anwar berada di landasan yang betul dalam membina halatuju ekonomi mampan untuk masa depan rakyat.

BACA JUGA Anwar hanya minta nasihat ketika pertemuan dengan ulama pondok – Agamawan