Anwar saksi perjalanan seni kartunis ini

Perdana Menteri memberitahu beliau menjadi saksi kepada perjalanan seni Zunar yang disifatkannya sebagai kartunis berani dan melakar dengan hati, berpegang pada prinsip, dan tidak gentar menyuarakan kebenaran.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, Zunar membuktikan bahawa seni bukan sekadar bakat atau ekspresi kreatif.

Malah, jelas beliau, seni juga suatu amanah untuk membela keadilan, menentang kezaliman, dan menjadi suara rakyat dalam apa jua keadaan.

“Tahniah saya ucapkan kepada Zunar atas penerbitan biografi ini.

“Ia bukan sahaja merakam perjuangan peribadi seorang seniman, tetapi turut menjadi catatan penting mengenai peranan seni dalam membentuk kesedaran dan keteguhan masyarakat,” ujarnya.

Perdana Menteri bersama isteri, Zunar serta Menteri Besar Selangor dan Pak Samad.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di Facebook malam ini susulan peluncuran Melukis Dengan Hati: Biografi Perjalanan Seni 50 Tahun karya Zunar di Perpustakaan Tun Uda Shah Alam, Selangor petang tadi.

Anwar sempat bertanyakan khabar Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said.

Turut hadir isteri Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari; Sasterawan Negara, Datuk Seri A Samad Said dan bekas Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Husam Musa.

“Dalam ucapan saya, saya turut menegaskan bahawa kebebasan bersuara adalah tunjang demokrasi dan amat penting untuk terus dipertahankan, khususnya oleh anak-anak muda yang akan mencorak masa depan negara ini ke arah yang lebih adil dan gemilang,” kata Anwar lagi.

Zunar atau nama sebenarnya Zulkiflee Anwar Haque, 63, dikenali sebagai kartunis politik sejak era Reformasi iaitu sekitar 1998.

Beliau telah menghasilkan lebih daripada 20 buku kartun politik, tidak termasuk ratusan lukisan individu yang tersiar di pelbagai media.

Karya kreatifnya banyak berkisar tentang isu rasuah, salah guna kuasa, hak asasi manusia dan dan sistem kehakiman di Malaysia.

Kartunis prolifik berkenaan telah menerima beberapa anugerah antarabangsa termasuk
Courage in Editorial Cartooning Award oleh CRNI (2011), International Press Freedom Award oleh Committee to Protect Journalists (2015) dan Cartooning for Peace Award di Switzerland (2016).

BACA JUGA Pembangkang usah mengail dalam lopak air di tengah jalan raya