Kadar inflasi pada Jun turun kepada 1.1 peratus
kadar inflasi Malaysia kekal perlahan pada 1.1 peratus bagi Jun 2025, sedikit menurun berbanding 1.2 peratus yang direkodkan pada Mei 2025.
Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), mata indeks pengguna mencatatkan 134.5 berbanding 133.0 pada bulan sama tahun sebelumnya.
Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin, berkata majoriti barangan mencatatkan peningkatan harga yang masih terkawal.
“Sebanyak 59.2 peratus item dalam bakul Indeks Harga Pengguna (IHP) merekodkan kenaikan harga, namun 97.1 peratus daripadanya meningkat kurang daripada 10 peratus.
“Ini menunjukkan bahawa tekanan inflasi masih dalam lingkungan sederhana, dengan hanya 10 item mencatatkan kenaikan melebihi 10 peratus,” katanya.
Kumpulan makanan dan minuman menyumbang 29.8 peratus daripada keseluruhan wajaran IHP, meningkat 2.1 peratus pada Jun 2025, kadar yang sama seperti Mei 2025.
Subkumpulan makanan di luar rumah menunjukkan peningkatan lebih tinggi, 4.7 peratus berbanding 4.4 peratus pada bulan sebelumnya.
Bagaimanapun, makanan di rumah susut kepada -0.4 peratus (Mei: 0.0 peratus).
Penurunan disumbang oleh sayur-sayuran (-7.2 peratus), susu dan telur (-1.8 peratus) serta daging (-1.1 peratus). Harga ayam standard di Semenanjung pula menurun kepada RM9.86/kg.
Lima negeri mencatatkan inflasi melebihi paras nasional, dengan Negeri Sembilan dan Selangor masing-masing pada 1.6 peratus.
“Namun, Kelantan kekal mencatatkan kadar terendah iaitu 0.2 peratus,” katanya.
Bagi perbandingan inflasi dengan negara-negara terpilih, inflasi di Malaysia lebih rendah berbanding inflasi Vietnam (3.6 peratus), Korea Selatan (2.2 peratus), Indonesia (1.9 peratus) dan Filipina (1.4 peratus), namun lebih tinggi berbanding China (0.1 peratus) dan Thailand (-0.3 peratus).
BACA JUGA AMANAH sokong ketegasan Anwar dalam rundingan tarif AS, yakin langkah tepat pertahan ekonomi negara