Kontrak katering hospital RM25.64 juta: JAKIM sudah diarah siasat
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) telah diarahkan untuk melakukan siasatan berhubung isu pemberian kontrak katering RM25.64 juta kepada syarikat tanpa sijil halal di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM).
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar, tindakan lanjut hanya akan diambil selepas menerima laporan penuh daripada Ketua Pengarah JAKIM, Datuk Dr Sirajuddin Suhaimee.
“Saya memang sudah arahkan Ketua Pengarah JAKIM untuk melihat isu itu dan dia akan maklum pada saya.
“Saya tak boleh nak respons (komen) sampai saya dapat laporan daripada JAKIM,” katanya, lapor Buletin TV3.
Sebelum ini, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) 2/2025 mendedahkan sebuah syarikat dianugerahkan kontrak selama tiga tahun bermula Februari 2024, walaupun tidak mempunyai sijil halal.
Hasil audit turut mendapati syarikat bernombor pendaftaran 0267299-T itu gagal penilaian teknikal tetapi tetap dibawa ke peringkat Jawatankuasa Penilaian Kewangan.
Menurut laporan itu, jawatankuasa Penilaian Teknikal tidak mengesyorkan syarikat tersebut kerana tiada pengalaman dan tidak memiliki sijil halal JAKIM.
Syarikat itu juga tiada pensijilan HACCP (iaitu sistem pengurusan yang mengiktiraf dan mengawal bahaya dalam proses pengeluaran makanan).
Meskipun syarikat tersebut lulus penilaian kewangan, ia berada di kedudukan keempat terendah dan tetap tidak disyorkan.
BACA JUGA Sidang DUN Kelantan tamat awal lagi, ADUN PH-BN tetap semangat bawa suara rakyat