Mari sini ambo tolong kiro sek demo jimat berapa bila minyak turun…

Seorang pengguna Facebook berkongsi sifir mudah untuk mengira penjimatan yang boleh dinikmati rakyat jika bahan api RON95 diturunkan kepada RM1.99 seliter.

Dalam catatan berbentuk santai dengan loghat Kelantan, pengguna akaun Azman Haikal membuat kira-kira berapa banyak kos boleh dijimatkan jika mengisi tangki penuh berkapasiti 45 liter.

“Mari sini ambo nok tolong kiro ko sek demo hok tak reti bersyukur, tahu ko dok penjimatan bila rego minyok RON95 turun kepado Rm1.99/liter?” tulisnya.

Katanya, jika sebelum ini harga petrol RON95 RM2.05 seliter, kos untuk mengisi penuh tangki mencecah RM92.25.

Kini, dengan harga baharu RM1.99, kosnya turun kepada RM89.55.

“Situ sek demo jimat RM2.70 doh untuk sekali isi minyak penuh tangki,” jelasnya.

Sementara itu seorang pempengaruh, Harris Nasril menerusi Facebook miliknya pula, berkongsi inisiatif yang dicipta sendiri iaitu kalkulator penjimatan petrol RON95 yang boleh diakses secara percuma oleh orang ramai.

“Ramai tak tahu nak kira berapa penjimatan yang dapat bila harga RON95 turun 6 sen kepada RM1.99 seliter bermula September. Untuk mudahkan kerja anda saya ada buat satu kalkulator. Anda cuma perlu isi dua kotak,” tulisnya dalam satu hantaran di media sosial.

Melalui laman sesawang interaktif https://harrisnasril.github.io/ron95baru/, pengguna hanya perlu mengisi saiz tangki penuh kenderaan mereka dalam liter dan kekerapan isi penuh dalam sebulan

Setelah menekan butang “Kira Penjimatan”, sistem akan mengira jumlah wang yang dijimatkan dalam tempoh sebulan dan setahun berdasarkan kadar penurunan sebanyak 6 sen seliter.

“Sebulan saya dapat jimat RM12 sebab saya isi tangki penuh 4 kali sebulan. Setahun, RM144. Kalau 100 tahun, dapat jimat RM14,400! Terima kasih PMX!” katanya dalam nada berseloroh.

Inisiatif ringkas tetapi praktikal itu turut dicuba ramai netizen, sekaligus menjadikan ia cara kreatif untuk membuatkan orang ramai faham bahawa penurunan harga walaupun kecil, tetap memberikan impak dalam jangka masa panjang.

BACA JUGA Minyak turun, Malaysia kini antara 10 negara dengan harga petrol termurah di dunia