Sah Mykiosk tiada unsur rasuah, pihak menuduh patut mohon maaf kepada penjawat awam

OLEH A. ZAHID

Dalam hiruk-pikuk politik dan media sosial hari ini, mudah sekali sesuatu inisiatif kerajaan dilabel sebagai “projek gajah putih”.

MyKiosk, satu program di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), tidak terlepas daripada tohmahan sedemikian.

Namun, apabila Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada unsur salah guna kuasa mahupun rasuah dalam projek ini, adakah adil untuk kita bertanya: siapa yang berani menuduh tetapi enggan memohon maaf?

Menteri Nga Kor Ming tampil tegas di Dewan Rakyat menuntut permohonan maaf daripada pihak yang sebelum ini begitu lantang menuduh MyKiosk sebagai satu kegagalan.

Ini bukan sekadar tuntutan politik; ini adalah soal maruah penjawat awam yang bekerja keras di lapangan.

Bila mereka difitnah tanpa asas, ia bukan sahaja mencemar imej kementerian, malah melemahkan semangat mereka yang cuba membantu rakyat dengan penuh dedikasi.

Realitinya, pelaksanaan mana-mana projek kerajaan pasti ada ruang untuk penambahbaikan, dan di sinilah kita melihat pendekatan progresif KPKT.

Dengan memperkenalkan sistem “lampu isyarat” bagi menilai prestasi pihak berkuasa tempatan (PBT), KPKT membuktikan bahawa mereka tidak lari daripada akauntabiliti.

Malah, pendekatan ini membuka jalan kepada reformasi yang berasaskan prestasi dan keberkesanan.

Namun apa yang menyedihkan ialah bagaimana sesetengah pihak memilih untuk menyerang lebih awal daripada menyiasat.

Ketika SPRM sendiri mengesahkan tiada kesalahan berlaku, tidak seorang pun tampil untuk menarik semula tuduhan atau memohon maaf.

Ini adalah budaya politik tidak sihat yang semakin menular umpama melempar lumpur tanpa bimbang akan kesannya, kerana percaya tiada keperluan untuk bertanggungjawab jika terbukti salah.

Kita perlu akui, integriti bukan sahaja milik pihak kerajaan atau penjawat awam, ia juga tanggungjawab mereka yang mengkritik. Kritikan yang membina dialu-alukan, tetapi fitnah mesti dihentikan.

Jika tidak, ia akan merosakkan bukan sahaja institusi, tetapi kepercayaan rakyat terhadap proses reformasi itu sendiri.

Maka, sewajarnya kini pihak yang membuat tuduhan terhadap MyKiosk tampil dengan keberanian yang sama seperti ketika mereka menuduh, dan memohon maaf secara terbuka.

Bukan untuk menjaga air muka menteri, tetapi demi menghormati prinsip kebenaran dan keadilan dalam wacana awam kita.

BACA JUGA Minyak turun, Malaysia kini antara 10 negara dengan harga petrol termurah di dunia