Setiap hari ulang alik naik motor, minyak turun 6 sen rasa lega sangat – luahan rakyat

Pelaksanaan langkah penyasaran subsidi bahan api, penurunan bil elektrik, serta bantuan tunai terus ke MyKad menjadi perbincangan hangat di media sosial sejak tengah hari tadi.

Bagi sesetengah rakyat, ia mungkin perubahan kecil. Namun bagi mereka yang bergantung harian kepada motosikal, perlu mengeluarkan belanja dapur dan perjalanan ulang-alik bekerja, setiap ringgit yang dijimatkan sangat bermakna.

Di media sosial, seorang individu berkongsi luahan jujur mengenai kos sara hidup yang perlu ditanggungnya. Dia berkata walaupun penurunan harga petrol hanya enam sen, ia sedikit sebanyak memberi kelegaan dalam kehidupan seharian.

Di bawah adalah nukilan penuh individu tersebut;

Saya bukan orang besar. Bukan orang politik. Saya cuma rakyat biasa.

Bekerja pagi balik malam. Bantu emak ayah bila mampu. Besarkan anak-anak perlahan-lahan. Dan seperti kebanyakan rakyat Malaysia lain, saya dah lama terbeban dengan kos hidup yang makin menghimpit.

Dulu, rasa macam hidup ni makin sempit. Harga barang naik, gaji tetap. Tol makin mahal, minyak pun tak menentu. Bil elektrik tiap bulan, tak pernah turun. Tapi yang paling menyakitkan ialah rasa macam tak ada siapa yang betul-betul peduli.

Sampailah sekarang.

Saya tak tahu nak kata macam mana, tapi sejak PMX ambil alih, saya mula rasa ada sesuatu yang berubah. Dia tak janji bulan bintang. Dia tak tabur harapan palsu. Tapi cara dia bercakap sangat terus terang dan jujur. Macam orang yang memang nak bantu, walaupun dia tahu bukan semua akan suka.

Saya masih ingat PMX cakap,

“Kalau kita terus hidup berhutang, menipu diri konon semuanya okay, nanti anak cucu kita yang tanggung.”

Ayat tu buat saya diam. Tersentak. Sebab selama ni, kita cuma nak benda senang sekarang tanpa fikir apa yang akan jadi esok.

Dengan pengumuman PMX hari ini, satu demi satu perubahan kita boleh rasa.

Harga RON95 turun ke RM1.99 seliter. Orang lain mungkin merungut kenapa 6 sen je. Tapi saya ni yang ulang alik ke tempat kerja setiap hari rasa sangat bersyukur. Isi full tank dapat save RM5-RM15 okay sangat dah tu.

Bil elektrik turun. Saya tengok bil bulan ni kurang dari biasa. Tak banyak, tapi cukup buat saya percaya yang janji mereka bukan omong kosong.

Tiada kenaikan tol. Tiap kali balik kampung, saya tak perlu fikir dua tiga kali nak guna lebuhraya. Tak perlu lagi risau tol naik senyap-senyap.

RM100 diberi terus ke MyKad. Boleh guna beli barang dapur. Bukan banyak, tapi waktu kita tengah sempit, RM100 tu sangat bermakna.

Cuti tambahan sempena Hari Malaysia. Bukan sekadar cuti, tapi rasa dihargai. Rasa macam kerajaan betul-betul nak raikan kita sebagai rakyat.

Apa yang saya rasa sekarang bukan sekadar kelegaan. Tapi rasa dihormati. Rasa didengar. Rasa ada harapan.

Bukan semua sempurna. Saya tahu itu. Tapi untuk pertama kalinya, saya nampak ada pemimpin yang sanggup ambil langkah susah walaupun tahu tak semua orang akan puji. Dia tak cari populariti. Dia cari penyelesaian.

Saya tak tahu apa orang lain fikir. Tapi bagi saya, inilah kali pertama saya rasa kerajaan ini bukan sekadar ada untuk berkuasa, tapi benar-benar mahu membaiki negara ini dari akar. Bukan dengan gimik. Tapi dengan keputusan-keputusan yang rasional, menyakitkan tetapi perlu.

Dan kalau kita sabar serta terus bersama, saya percaya Malaysia boleh pulih. Perlahan-lahan, tetapi pasti.

BACA JUGA Pengumuman PMX isyarat penghormatan kepada rakyat Malaysia, tulang belakang negara