Empat negeri pembangkang paling tinggi kadar guna SARA
Kadar penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) tertinggi dicatatkan di Perlis dengan 96 peratus tuntutan, menurut Kementerian Kewangan (MoF) menerusi jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.
Ia diikuti Sabah (GRS-Kerajaan Perpaduan) serta tiga lagi negeri Perikatan Nasional (PN) iaitu Kedah, Kelantan dan Terengganu dengan 95 peratus tuntutan penggunaan MyKad dalam pembelian di kedai runcit berdaftar.
Sehingga 14 Julai lalu, lebih 4.9 juta daripada 5.4 juta penerima SARA sudah menggunakan kad pengenalan mereka untuk membeli barangan asas.
MoF memaklumkan angka tersebut menggambarkan kadar penggunaan sebanyak 92 peratus secara keseluruhan bagi bulan keempat pengkreditan.
Jelasnya, jumlah penerima SARA juga ditingkatkan secara signifikan daripada 700,000 kepada 5.4 juta orang bermula April lalu.
“Pendekatan SARA selaras hasrat kerajaan menyediakan bantuan secara bersasar kepada golongan memerlukannya.
“Mekanisme pelaksanaan SARA bagi memastikan penerima mendapat manfaat barangan asas, termasuk makanan untuk keluarga penerima,” menurut MoF.

Kenyataan itu menjawab soalan Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) mengenai jumlah peruntukan kewangan diagihkan bagi 2024 untuk SARA, jumlah penerima dan kawalan bagi memastikan program itu hanya diagihkan kepada golongan layak.
Tambah MoF lagi, peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA sudah ditingkatkan ke tahap tertinggi iaitu kepada RM13 bilion tahun ini, berbanding RM10 bilion pada 2024.
Peningkatan itu, katanya, terus memberi manfaat kepada sembilan juta penerima atau bersamaan 60 peratus penduduk dewasa negara.
“Program ini adalah bantuan tunai kerajaan kepada golongan berpendapatan rendah serta sederhana yang benar-benar berkelayakan dan memerlukan bagi mendepani cabaran kos sara hidup.
“Mengikut data semasa, hampir 8.5 juta penerima STR direkodkan dengan RM4 bilion disalurkan melalui bayaran STR Fasa 1 dan Fasa 2, terdapat baki dua fasa bayaran STR lagi yang akan dibuat pada Ogos dan November ini,” menurut MoF lagi.
BACA JUGA Rakyat tarik nafas lega, limpahan ekonomi beri banyak manfaat