Jangan pandang remeh bantuan RM100, orang kampung perlukannya
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegur pihak-pihak yang memandang remeh pemberian RM100 yang diumumkan kerajaan semalam.
Beliau berkata, pihak yang mengkritik mungkin bergaji besar sehingga menganggap RM100 adalah kecil, tetapi ia sebenarnya membawa makna besar kepada orang di kampung yang memerlukan.
“Ada kata RM100 sahaja…tak apalah, kamu gaji RM20,000 RM40,000 sebulan. Tetapi saya tahu, kalau pergi ke kampung ada (memerlukan),” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Warga Kementerian Kewangan hari ini.
Anwar berkata, sumbangan itu merupakan tambahan kepada program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang dinaikkan peruntukan daripada RM13 bilion kepada RM15 bilion.
Katanya, bagi sebuah keluarga miskin yang mempunyai dua anak dewasa dan pasangan suami isteri, bantuan tunai itu boleh mencecah RM400 dan jika dicampur dengan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) sedia ada, jumlahnya boleh meningkat sehingga RM700
“Jadi jangan remehkan. Kerajaan tambahkan daripada peruntukan sedia ada iaitu RM13 bilion ke RM15 bilion (tambahan RM2 bilion),” kata beliau.
Semalam Anwar mengumumkan pemberian RM100 kepada setiap warganegara dewasa berusia 18 tahun dan ke atas melalui MyKad di bawah program Sumbangan Asas Rahmah (SARA).
Ia adalah antara lima langkah segera bagi meredakan tekanan kos sara hidup rakyat, meskipun kadar inflasi keseluruhan Jun 2025 mencatatkan hanya 1.1 peratus, terendah dalam tempoh 52 bulan.
BACA JUGA Nurul Islam Pas disiasat MCMC, ramai suka komentar Louis Martin