Jho Low berada di Shanghai? Ini penjelasan Menteri Dalam Negeri
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, tiada bukti sahih terhadap dakwaan bahawa Jho Low menetap di sebuah kawasan elit di Shanghai, China dengan menggunakan pasport Australia palsu.
Saifuddin berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) bekerjasama secara berterusan dengan agensi penguat kuasa antarabangsa bagi mengesan individu yang paling dikehendaki dalam skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) itu.
“Setakat ini, laporan mengenai keberadaan individu (Jho Low) itu dan pasport yang digunakannya tidak disertakan dengan fakta sokongan dan bukti yang sahih,” jelasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas lawatan kerja di Pusat Respons Scam Kebangsaan (NSRC) di Sasana Kijang hari ini.
Sebelum ini, dua wartawan penyiasatan, Bradley Hope dan Tom Wright, mendedahkan bahawa Jho Low dipercayai kini menetap di kawasan eksklusif Green Hills, Shanghai.
Menerusi siaran langsung Finding Jho Low: Live with Bradley Hope & Tom Wright baru-baru ini, Jho Low atau nama sebenarnya Low Taek Jho didakwa beroperasi dari sebuah pejabat di Pusat Kewangan Shanghai.
Pendedahan menggemparkan itu juga mendakwa ahli perniagaan dalam buruan tersebut menggunakan pasport Australia palsu dan memandu kenderaan mewah di sana.
Dia juga kini dikatakan menjadi penasihat strategik kepada kerajaan China walaupun Beijing pernah menafikan melindungi Low.
Jho Low, 43, didakwa di Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) atas tuduhan mendalangi penyelewengan AS$4.5 bilion bersamaan kira-kira RM21.15 bilion dana 1MDB.
BACA JUGA Empat negeri pembangkang paling tinggi kadar guna SARA