Sebelum turun jalanan PN patut kemuka inisiatif lebih baik untuk rakyat

AMANAH mencabar Perikatan Nasional (PN) yang mahu berdemonstrasi untuk menjatuhkan Perdana Menteri, untuk mengemukakan inisiatif yang lebih baik daripada apa yang dibawa kerajaan hari ini.

Setiausaha Agungnya, Faiz Fadzil berkata, sebelum mendesak Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk meletakkan jawatan, mereka juga perlu mendedahkan calon Perdana Menteri mereka sendiri.

“Kepada parti-parti pembangkang yang mahu berdemonstrasi minggu ini menentang PM, saya cabar anda bentangkan inisiatif-inisiatif yang lebih baik. Sebelum mendesak PM meletak jawatan, dedahkan juga calon PM.

“PN bukan sahaja tiada calon kukuh dan sepakat, malah semakin berantakan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Cabaran itu dibuat susulan pengumuman khas Perdana Menteri yang menurut Faiz, jelas membuktikan keprihatinan kerajaan Madani terhadap nasib rakyat termasuk di negeri-negeri pembangkang.

Antara inisiatif diumumkan termasuk bantuan tunai RM100 kepada semua rakyat Malaysia berumur 18 tahun ke atas, penurunan harga petrol RON95 kepada RM1.99 seliter, penangguhan kenaikan tol bagi 10 lebuh raya termasuk Lebuhraya Pantai Timur 2 (LPT2), dan peluasan program Jualan Rahmah Madani.

Tambah beliau, peruntukan bagi program Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA kini meningkat kepada RM15 bilion, iaitu lonjakan 50 peratus berbanding tahun 2024.

Sementara itu Faiz menasihatkan pembangkang agar menggunakan saluran sah yang dibenarkan oleh Perlembagaan Persekutuan untuk menukar kerajaan.

Ini kerana katanya, penukaran kerajaan di tengah-tengah penggal sama ada melalui demontrasi jalanan atau tebuk atap adalah tindakan yang tidak mengikut prinsip demokrasi.

Beliau juga menyifatkan demonstrasi ‘Turun Anwar’ yang dirancang PN sebagai tindakan yang tidak menghormati mandat rakyat.

“Langkah Sheraton adalah satu detik hitam negara yang telah mengakibatkan ketidakstabilan politik dan kelemahan ekonomi. Rakyat seharusnya benci kepada PN yang menebuk atap kerajaan sah sebelum ini.

“Rakyat seharusnya menolak sikap pembangkang yang terdesak ini. Pembangkang perlu bersikap seperti PH yang menunggu pilihanraya untuk menukar kerajaan,” ujarnya.

BACA JUGA Pencetak Harakah cadang penyokong Pas bayar hutang dengan RM100 yang diberi PMX