Ini dia perkembangan terkini kajian kompetensi DUN untuk menggubal undang-undang Islam

Hasil kajian jawatankuasa khas untuk mengkaji kompetensi DUN untuk menggubal undang-undang telah pun dimaklumkan dalam mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) pada 1 Julai tahun ini dan dalam mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-269 pada 16 Julai 2025.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Senator Datuk Dr Na’im Mokhtar, syor-syor yang dicadangkan dalam laporan kajian tersebut akan diteliti oleh kerajaan tsebelum sebarang tindakan lanjut dibuat.

“Syor-syor yang dicadangkan dalam laporan kajian oleh jawatankuasa khas tersebut akan diteliti oleh kerajaan terlebih dahulu sebelum sebarang tindakan lanjut diambil termasuklah jika terdapat keperluan pindaan undang-undang yang berkaitan untuk dibentangkan di Parlimen.

“Ini bagi memastikan setiap pindaan undang-undang yang digubal terutamanya yang menyentuh tentang bidang kuasa antara Persekutuan dan Negeri adalah jelas, teratur dan selaras dengan peruntukan Perlembagaan Persekutuan, undang-undang lain yang berkuat kuasa dan Hukum Syarak supaya ia sah dan tidak dipertikaikan oleh mana-mana pihak apabila ia berkuat kuasa kelak.

“Bagi syor Jawatankuasa Khas yang melibatkan perkara-perkara di bawah bidang kuasa Persekutuan, ia akan diangkat untuk pertimbangan dan persetujuan Jemaah Menteri terlebih dahulu.

Kebimbangan berkenaan kompetensi DUN timbul ekoran keputusan mahkamah yang memutuskan 16 peruntukan di dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 2019 adalah bertentangan dengan perlembagaan dalam kes Nik Elin lawan DUN Kelantan pada tahun lalu.

“Bagi syor yang melibatkan pindaan kepada Undang-Undang Tubuh Negeri/PerlembagaanNegeri/Akta/Enakmen/Ordinan Pentadbiran Agama Islam atau Undang-Undang Mahkamah Syariah Negeri- Negeri yang berada di bawah bidang kuasa Negeri, ia adalah tertakluk kepada persetujuan Negeri-Negeri,” kata Naim dalam jawapan bertulis.

Naim berkata demikian kepada Ahmad Saad (PN-Pokok Sena).

Kajian di atas dibuat ekoran titah pengerusi MKI yang juga Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah.

Pada tahun lalu Mahkamah Persekutuan memutuskan 16 peruntukan di dalam Enakmen Jenayah Syariah Kelantan 2019 adalah tidak berperlembagaan susulan kes yang difailkan oleh Nik Elin Rashid terhadap DUN Kelantan.