Kes Isa Samad: Rayuan pembebasan didengar 29 Oktober

Mahkamah Persekutuan akan mendengar rayuan pihak pendakwaan pada 29 Oktober ini berhubung keputusan Mahkamah Rayuan yang melepas dan membebaskan bekas Pengerusi FELDA, Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, daripada sembilan pertuduhan rasuah.

Kesemua pertuduhan rasuah itu melibatkan wang mencecah RM3 juta berkaitan urusan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching.

Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan, Wan Fatimah Zaharah Wan Yussof menetapkan tarikh pendengaran rayuan akhir itu semasa prosiding pengurusan kes yang diadakan secara dalam talian menerusi aplikasi Zoom hari ini.

Menurut Timbalan Pendakwa Raya, Afzainizam Abdul Aziz ketika dihubungi media, semua pihak diarahkan memfailkan hujahan dua minggu sebelum pendengaran rayuan, iaitu sebelum atau pada 14 Oktober ini.

Mohd Isa, 75, didakwa pada 2018 atas sembilan pertuduhan menerima suapan berjumlah RM3.09 juta daripada Ikhwan Zaidel, Ahli Lembaga Pengarah Gegasan Abadi Properties Sdn Bhd (GAPSB) ketika itu, melalui Muhammad Zahid.

Ia sebagai penghargaan atas kelulusan pembelian hotel oleh FELDA Investment Corporation Sdn Bhd (FICSB) bernilai RM160 juta.

Kesalahan itu didakwa berlaku antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015 di Tingkat 49, Menara FELDA, Persiaran KLCC.

Pertuduhan itu mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009 dan membawa hukuman mengikut Seksyen 24(1) akta sama, iaitu penjara maksimum 20 tahun dan denda sekurang-kurangnya lima kali nilai suapan atau RM10,000, bergantung kepada jumlah yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

BACA JUGA Kami mahu reformasi institusi bukan ketidakstabilan politik, kata NGO