‘Dah tiga tahun kata nak bawa usul undi tak percaya, silakan bawa…’ – Anwar
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan rancangan blok pembangkang yang dikatakan mahu membawa usul undi tidak percaya terhadapnya.
Beliau berkata perkara itu sudah tiga tahun disebut-sebut untuk dibawa ke Parlimen namun sehingga hari ini belum dikemukakan lagi.
“Ada cadangan Datuk Seri Hamzah Zainudin nak bawa undi tidak percaya.
“Silakan, kita terbuka. Ini proses yang betul, dia (mahu) bawa, sila bawa. Dia kata nak bawa dah tiga tahun,” katanya kepada pemberita hari ini menurut BH Online.
Semalam, Perikatan Nasional (PN) memberi bayangan akan menghantar usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Hamzah Zainudin dilaporkan berkata, usul itu akan dipertimbang untuk dihantar kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul dalam masa terdekat.
Bagaimanapun beliau tidak menyebut bila akan mengemukakan usul itu.
BACA JUGA Pekerja pembersihan kutip 20 tan sampah sampai pagi buta selepas himpunan