Demokrasi era MADANI hormati kebebasan bersuara, hak berhimpun secara aman
Hak untuk berhimpun dan bersuara kini menjadi satu norma yang dihormati dan dilindungi di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI, kata Pengarah Komunikasi PKR, Adam Adli.
Beliau berkata, kebenaran berhimpun secara aman kepada pembangkang semalam adalah bukti kematangan demokrasi dan bukan tanda kelemahan.
Menurut beliau, landskap politik negara hari ini jauh berbeza berbanding dahulu yang menyaksikan suara rakyat dibungkam, perhimpunan dibedil dan perbezaan pendapat dijenayahkan.
“Di era Madani, pembangkang dan penyokongnya dibenarkan berhimpun secara aman di ibu kota tanpa gangguan, tanpa kekerasan. Ini bukan kelemahan pentadbiran, ini kekuatan demokrasi sebenar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kehadiran peserta himpunan tanpa pemedih mata, belantan dan perisai rusuhan adalah cerminan kematangan institusi negara mengangkat peranan anggota keselamatan sebagai komponen penting dalam ekosistem demokrasi negara.
Katanya, cita-cita MADANI bukan sahaja menjamin hak sivil, tetapi juga menyentuh aspek kehidupan rakyat seperti kos sara hidup, membasmi kemiskinan, reformasi ekonomi, pendidikan,
dan pekerjaan yang menjadi bukti komitmen berterusan kepimpinan negara.
Adam berkata, usaha Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam memulihkan imej Malaysia di peringkat antarabangsa juga semakin menunjukkan hasil apabila negara kembali diiktiraf sebagai kuasa ekonomi yang stabil pasca pandemik.
Dalam masa sama, beliau menyelar pembangkang yang dilihat ketandusan dasar alternatif dan hanya bermain persepsi serta menyerang peribadi pemimpin kerajaan.
“Ini mungkin meresahkan pembangkang. Ketika kerajaan sibuk memulihkan negara, pembangkang ketandusan hala tuju. Lantas, strateginya dialihkan kepada mencipta ketidaktentuan dan permainan persepsi, tidak dengan dasar alternatif yang lebih baik, hanya serangan ke atas personaliti.
“PKR melihat himpunan ini bukan sebagai ancaman, tetapi lambang perubahan budaya politik yang dahulunya pernah dibelenggu pemerintahan kuku besi.
“Perbezaan pandangan harus diraikan. Dalam demokrasi, suara yang menyokong mahupun menentang; kedua-duanya penting dan wajar dilindungi,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan hari ini telah membuktikan kemampuan untuk memelihara ruang demokrasi, namun persoalannya, mampukah pembangkang melakukan perkara yang sama.
“Mahukah pembangkang mendidik penyokongnya menjadi adil dan celik, di samping mendisiplinkan wakil rakyatnya di Parlimen dengan hujah yang lebih baik?,” soalnya.
BACA JUGA Kehadiran jauh dari sasaran, himpunan Turun Anwar gagal