Kehadiran jauh dari sasaran, himpunan Turun Anwar gagal

Demonstrasi anjuran Perikatan Nasional (PN) dan Pas semalam gagal menarik sokongan rakyat apabila sasaran 500,000 yang ditetapkan pembangkang hanya membawa kepada 18,000 peserta sahaja menurut rekod rasmi pihak polis.

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Klang, Mohamad Shahrul Adnan berkata, ini adalah kegagalan besar yang memperlihatkan bahawa rakyat tidak lagi termakan dengan agenda politik kebencian dan fitnah murahan.

Beliau berkata, jika benar pembangkang berhasrat untuk menurunkan Perdana Menteri, maka ia perlu dilakukan mengikut saluran perlembagaan.

“Bawalah usul undi tidak percaya di Parlimen dan buktikan bahawa anda memperoleh sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat.

“Jangan menjadikan jalanan sebagai medan mainan politik demi menutup kelemahan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mohamad Shahrul berkata, demonstrasi hambar ini hanyalah gimik politik lapuk yang tidak berakar kepada realiti semasa kerana di bawah kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim, negara telah mencatatkan kadar pelaburan asing tertinggi dan pengurusan ekonomi yang cemerlang.

Beliau percaya kegagalan demonstrasi ini sebagai mesej jelas bahawa rakyat tidak mahu kembali kepada zaman kegawatan politik yang lalu.

“Kepada pembangkang, kami nasihatkan agar berhenti bermain politik lapuk yang tidak membawa manfaat kepada rakyat. Tumpulah kepada tanggungjawab sebagai pembangkang yang konstruktif, bukan menabur fitnah untuk terus kekal relevan,” ujarnya.

BACA JUGA Pertama kali dalam sejarah PM doakan keselamatan rakyat berdemo