Rundingan berhasil, Thailand-Kemboja setuju gencatan senjata tanpa syarat tengah malam ini

Thailand dan Kemboja bersetuju untuk melaksanakan gencatan senjata serta merta tanpa sebarang syarat yang akan berkuatkuasa jam 12 malam ini.

Ia sebagai langkah penting ke arah meredakan ketegangan dan mengembalikan keamanan di kawasan sempadan

Perkara itu diumumkan dalam satu kenyataan bersama antara Malaysia, Thailand dan Kemboja selepas selesai rundingan yang dihoskan sendiri oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Selain gencatan senjata, kedua-dua negara berkonflik turut bersetuju dengan dua lagi keputusan yang dicapai.

Antaranya, mengadakan satu mesyuarat tidak rasmi bersama komander ketenteraan Kemboja–Thailand, termasuk Komander Tentera Wilayah dan Tentera Serantau, pada 29 Julai jam 7 pagi, disusuli mesyuarat bersama pegawai pertahanan ASEAN.

Akhir sekali, mengadakan mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Umum (GBC) dijadualkan pada 4 Ogos 2025 di Kemboja untuk membincangkan isu keselamatan sempadan secara menyeluruh.

Sementara itu Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN 2025 menyatakan komitmen untuk menyelaraskan pasukan pemerhati demi memantau pelaksanaan gencatan senjata.

“Malaysia juga akan berbincang dengan negara anggota ASEAN lain untuk menyokong usaha damai serantau ini,” ujar kenyataan bersama itu.

Kedua-dua pihak turut bersetuju untuk menyambung semula komunikasi secara langsung antara pemimpin tertinggi termasuk Perdana Menteri, Menteri Luar dan Menteri Pertahanan masing-masing.

Mesyuarat tersebut menegaskan komitmen bersama semua negara terlibat terhadap keamanan serantau, kedaulatan undang-undang antarabangsa, serta penyelesaian secara diplomatik dalam menangani sebarang pertikaian.

BACA JUGA Polis tahan Chegubard atas dakwaan menghasut