Karikatur monyet, kambing dan biri-biri: Pas malukan negara, menyimpang dari tuntutan Islam
Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim menyifatkan pembangkang lebih rela melihat kegagalan daripada mengiktiraf kejayaan gencatan senjata Thailand-Cambodia yang membanggakan negara.
Beliau berkata, kenyataan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari yang mempersenda mesyuarat khas dipengerusikan Perdana Menteri di Putrajaya semalam sebagai politik sempit yang perlu ditolak.
“Kita tidak boleh benarkan suara-suara sumbang ini terus menjadi liabiliti kepada nama baik negara. Tindakan mereka jelas tidak patriotik dan memalukan negara.

“Tuntutan Islam yang sepatutnya meraikan pendamaian, disanggah dengan kebencian politik yang membuak. Ini jauh menyimpang dari ajaran dan tuntutan Islam,” katanya menerusi hantaran di laman X rasminya, hari ini.
Dalam masa sama, Kamil menegaskan bahawa peranan Malaysia khususnya Perdana Menteri sebagai peneraju dan arkitek keamanan serantau bukan soal parti atau politik individu sebaliknya melibatkan maruah negara.
“Ini soal peranan Malaysia sebagai pemimpin yang disegani di rantau ini.
“Dunia menyambut baik usaha ini dari Presiden Amerika Syarikat, Presiden China, sehinggalah ke seluruh komuniti ASEAN tetapi pembangkang kita pula memilih untuk menjadi sinis dan pesimis,” kata beliau.
Menurutnya, pembangkang lupa semasa mereka berkuasa, tiada satu pun kejayaan diplomatik seumpama dan sebesar itu berjaya digerakkan.
“Kini, apabila Malaysia di bawah Kerajaan MADANI berdiri megah menegak serta melakar diplomasi di persada antarabangsa dan memain peranan aktif menyelesaikan pertelagahan, pembangkang memilih untuk menyemai kebencian dan dendam kesumat,” tambah Kamil lagi.
BACA JUGA Fadhli Shaari dikecam teruk, ada yang tuntut letak jawatan MP Pasir Mas