Pasca Himpunan “Turun Anwar”: Politik tidak bermoral, gagal dan menentang Rukun Negara
Oleh DR SHAHNOR BASRI
Himpunan “Turun Anwar” yang digerakkan Pas dan Perikatan Nasional (PN) pada 26 Julai 2025 telah tercatat dalam sejarah sebagai aksi jalanan paling gagal, paling tidak bermoral, dan paling tidak berakhlak dalam politik Malaysia moden.
Kononnya atas nama rakyat, himpunan ini akhirnya membongkar wajah sebenar pembangkang: rapuh, penuh kepalsuan, dan sanggup memperdagangkan maruah bangsa demi nafsu kuasa.
1) Tiada isu kukuh untuk menafikan pencapaian kerajaan
Pas-PN mendakwa rakyat tertekan dan ekonomi runtuh. Namun, fakta pertengahan 2025 menampar dakwaan mereka:
- Pertumbuhan KDNK: 4.4% (Q1 2025) dengan unjuran meningkat ke 4.5% seterusnya ([BNM, Reuters]).
- Pelaburan Asing (FDI): RM 60.4 bilion diluluskan pada Q1 2025, mewakili lebih 67.3% daripada keseluruhan pelaburan ([MIDA, Reuters])
- Inflasi Jun 2025: hanya 1.1%, antara terendah di Asia Tenggara ([Jabatan Perangkaan]).
- Pengangguran: 3.2%, terendah sejak pandemik Covid-19, dengan penciptaan ratusan ribu pekerjaan baru ([DOSM]).
Ini adalah pencapaian nyata hasil kepimpinan Perdana Menteri Dato’ Seri Anwar Ibrahim. Naratif Pas-PN bahawa ekonomi Malaysia hancur hanyalah fitnah longgar yang tidak bersandar pada data.

2) Demonstrasi biadab: Menyebat patung Perdana Menteri
Tindakan segelintir peserta menyebat patung menyerupai Anwar Ibrahim adalah bukti nyata bahawa himpunan ini bukanlah protes bermoral, tetapi aksi kebencian yang hina dan tercela.
Budaya politik sebegini bukan budaya Melayu, bukan ajaran Islam, dan bukan akhlak yang luhur. Ia menyalahi prinsip Rukun Negara, khususnya:
“Kesopanan dan Kesusilaan.”
Apa yang berlaku adalah pengkhianatan terhadap kesopanan bangsa, sekaligus membuktikan bahawa Pas-PN tidak menghormati nilai asas yang memelihara perpaduan negara.
Pelaku dan pencetus perbuatan menyebat patung Perdana Menteri seharusnya dihukum kerana perbuatan menghasut dan tidak menghormati Rukun Negara!
3) Adakah bayaran untuk hadir?
Pendedahan media sosial dan laporan bebas menunjukkan ramai peserta dibayar serta dibawa dari jauh — Terengganu, Perlis, Kedah, dan Pahang — semata-mata untuk memenuhkan himpunan.
Ini menimbulkan persoalan besar: Jika himpunan ini benar-benar suara rakyat, mengapa perlu dibayar?
Jawapannya jelas: Himpunan ini bukan gerakan rakyat, tetapi projek politik murahan yang memanipulasi rakyat untuk kepentingan segelintir pemimpin yang ketagihkan kuasa.

4) Institusi Parlimen dimatikan oleh Pas-PN
Malaysia masih mempunyai Parlimen yang berfungsi sepenuhnya. Namun, Pas-PN memilih jalanan kerana mereka:
- Tidak berani mengusulkan undi tidak percaya di Dewan Rakyat.
- Tidak pernah membentangkan Belanjawan Alternatif.
- Tidak menghasilkan Kertas Putih Ekonomi.
Sebaliknya, mereka mengitar semula fitnah dan naratif palsu tanpa bukti, lalu membawa rakyat ke jalanan demi melindungi kegagalan mereka.
5) Haji Hadi sendiri pernah tegas: Tebuk atap haram
Ironinya, Tan Sri Abdul Hadi Awang pernah menegaskan pada Mac 2020 bahawa:
“Kerajaan mestilah diambil alih melalui pintu hadapan bukan pintu belakang…”
Namun hari ini, beliau sendiri menjadi dalang percubaan menebuk atap dari jalanan dan telah juga terbukti ketika Langkah Sheraton beliau merupakan diantara arkitek pentingnya.
Ini bukti jelas bahawa Pas bukan parti yang berpegang pada prinsip, tetapi hanya memperalatkan agama dan rakyat untuk tujuan kuasa semata-mata.
6) Politik gagal dan hilang arah
Himpunan ini membuktikan bahawa Pas-PN:
- Kehabisan modal politik.
- Tidak mampu berhujah secara intelektual atau membawa solusi.
- Sanggup menggadai akhlak dan budaya Melayu demi mencipta kekacauan.
Sementara itu, Anwar Ibrahim dan Kerajaan Perpaduan terus mengangkat imej Malaysia di pentas antarabangsa, menarik pelaburan, memulihkan keyakinan pelabur, dan memperkukuh ekonomi negara.
Terbaharu, Anwar Ibrahim menerajui rundingan gencatan senjata diantara Thailand denga Kemboja pada 28hb Julai 2025 telah telah membuahkan hasih yang amat memberangsangkan demi keamanan Rantau Asean.
Penutup: Rakyat menolak politik kebencian
Himpunan “Turun Anwar” tidak akan dikenang sebagai perjuangan rakyat, tetapi sebagai titik hitam kegagalan Pas-PN.
Perbuatan biadab seperti menyebat patung pemimpin negara bukan sahaja melanggar akhlak Melayu-Islam, tetapi juga mencabuli Rukun Negara yang menjadi asas negara ini.
Rakyat Malaysia mahukan kestabilan, peluang, dan politik berakhlak — bukan demonstrasi murahan yang menggadaikan maruah bangsa.
Kerajaan MADANI mungkin belum sempurna, tetapi jelas jauh lebih bermaruah, berintegriti, dan berkesan daripada pembangkang yang kini hanya mampu menyalak di jalanan.
*DR SHAHNOR BASRI merupakan Felo Utama Akademi Sains Islam, Jordan.