Rujuk Ahmad Fadhli Shaari kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan, tegas AMANAH Perak
AMANAH Perak mahu Ahmad Fadhli Shaari (PN-Pasir Mas) dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan parlimen.
“AMANAH Perak menyarankan agar kenyataan ini dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen, memandangkan ia dibuat oleh seorang Ahli Parlimen dan memberi implikasi besar terhadap maruah Dewan dan kredibiliti Parlimen di mata rakyat.
“Walaupun kenyataan tersebut dibuat di luar dewan, ia tetap membawa beban tanggungjawab sebagai seorang wakil yang sedang memegang jawatan rasmi, kata Datuk Asmuni Awi dalam satu kenyataan.
“Sekiranya tindakan seperti ini terus dibiarkan, kita bimbang budaya politik celupar dan kebencian akan menjadi norma, hingga mencemarkan nama baik Malaysia sendiri.
“Kami menyeru semua Ahli Parlimen kerajaan agar mempertimbangkan langkah merujuk perkara ini ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen.
“Sekiranya perlu, tindakan penggantungan juga wajar dipertimbang sebagai satu isyarat jelas bahawa Parlimen Malaysia tidak akan berkompromi terhadap perbuatan yang mencemar maruah negara.”
Ia ekoran kenyataan yang dibuat oleh Ahmad Fadhli yang menyamakan kepimpinan negara dengan perumpamaan bagai monyet mendapat bunga dalam satu hantaran Facebook.
“Kenyataan tersebut bukan sahaja biadab dan tidak bertanggungjawab, malah memberi gambaran buruk terhadap wibawa kerajaan dan kepimpinan negara.
“Ia mencerminkan sikap politik yang tidak matang dan menjatuhkan maruah institusi Parlimen serta peranan seorang wakil rakyat.”
BACA JUGA: Sany anggap MP Pas tak cerdik, cabar pembangkang bawa usul undi tak percaya PM