Sany anggap MP Pas tak cerdik, cabar pembangkang bawa usul undi tak percaya PM
Ahli Parlimen Hulu Langat, Mohd Sany Hamzan menyifatkan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari sebagai tidak cerdik apabila memuat naik karikatur monyet menjadi orang tengah kepada kambing dan biri-biri yang berebutkan pisang.
Sany turut mencabar Ahmad Fadhli yang juga Ahli Parlimen Pasir Mas supaya mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri seperti yang disuarakan pembangkang dalam himpunan baju hitam pada 26 Julai lalu.
“Kalau tak suka Perdana Menteri, hari Sabtu lepas (26 Julai) kata nak bawa dalam Parlimen usul undi tidak percaya.
“Kalau tidak suka Perdana Menteri, bawa usul undi tidak percaya.

“Ahli Parlimen daripada Pas ini, (juga) Ketua Penerangan Pas Pusat ini, saya nampak orang yang tak cerdik.
“Orang yang tidak ada kepala otak, biadab dan tidak ada hati perut apabila kita berbicara tentang peperangan,” tegasnya.
Beliau berkata demikian pada sidang media semasa membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi hari ini.
Turut hadir Dr Mohammed Taufiq Johari dan Aminolhuda Hassan, masing-masing Ahli Parlimen Sungai Petani dan Sri Gading.
Mengulas lanjut, Sany berkata, kenyataan Fadhli itu keterlaluan Ketika Perdana Menteri berusaha untuk menghentikan peperangan yang menzalimi rakyat termasuk orang tua, wanita dan kanak-kanak.
“Lihat, inilah taraf pemikiran Ahli Parlimen daripada Pas dan Perikatan Nasional,” bidas wakil rakyat AMANAH itu lagi.
BACA JUGA Ketua Penerangan Pas dah kena ‘petik’ dalam laporan polis