Selepas Thai dan Kemboja berjaya didamaikan, Fadhli padam ‘posting’ monyet, kambing dan biri-biri

Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari bertindak memadam hantaran yang menyebut tentang monyet, kambing dan biri-biri selepas Thailand dan Kemboja bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta serta tanpa syarat.

Terdahulu, pemimpin Pas berkenaan memuatnaik hantaran berbaur ejekan berserta imej janaan kecerdasan buatan (AI) yang memaparkan monyet bertindak sebagai hakim manakala kambing dan biri-biri sedang berebutkan pisang.

“Kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang,” katanya menerusi hantaran di Facebook semalam.

Sindiran Ketua Penerangan Pas itu bagaimanapun mengundang cemuhan orang ramai dengan rata-rata menyifatkan Fadhli sebagai melampau apabila menghina Perdana Menteri malah dua negara berjiran yang sedang bertelagah itu.

Petang semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bertindak sebagai hos, Pengerusi ASEAN dan saksi kepada perbincangan bersejarah melibatkan Thailand dan Kemboja yang sedang berperang.

Menerusi mesyuarat khas bersama Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, kedua-dua negara bersetuju melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat.

Ia merupakan pertemuan secara bersemuka yang pertama melibatkan kedua-dua pemimpin negara majoriti penganut Buddha itu sejak konflik tercetus pada 24 Julai lalu.

Mesyuarat berlangsung hampir dua jam setengah itu turut dihadiri Duta Amerika Syarikat (AS) ke Malaysia, Edgard D Kagan, dan Duta China ke Malaysia, Ouyang Yujing.

Susulan itu, banyak pihak memuji kepimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam menjadi orang tengah dalam usaha menamatkan konflik dan mengelakkan sebarang peningkatan ketegangan di kawasan sempadan yang dipertikaikan.

BACA JUGA Satu dunia jadi saksi Anwar satukan dua negara berseteru