Fadhlina tepis tuduhan dakwa beliau tidak bertindak kes adik Zara
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menafikan fitnah yang sedang berlegar di media sosial, mendakwa beliau tidak bertindak apa-apa dalam kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina.
Beliau menegaskan, pada 17 Julai lalu beliau telah menziarahi keluarga Allahyarham di hospital Kinabalu, dan disusuli kenyataan media pada hari berikutnya yang menegaskan komitmen kementerian untuk bekerjasama dalam siasatan isu ini.
Sepanjang tempoh itu, beliau meneliti laporan harian dan memantau secara dekat kes ini bagi memastikan JPN Sabah memberi bantuan terbaik kepada keluarga.
“Kes ini adalah tumpuan utama kami di Kementerian pada waktu ini. Berhentilah menyebarkan fitnah tanpa usul periksa.
“Beberapa siri ziarah cakna dilakukan JPN Sabah ke atas keluarga. Intervensi krisis dan trauma turut dilaksanakan untuk murid, guru dan warga sekolah bagi memastikan aspek kesejahteraan terpelihara.
‘Memahami kegusaran keluarga dan masyarakat, saya keluarkan satu lagi kenyataan susulan pada 25 Julai 2025. Saya nyatakan pendirian tegas Kementerian Pendidikan (KPM) untuk tidak akan melindungi mana-mana pihak sekiranya terdapat sebarang salah laku,” ujarnya dalam satu penjelasan di Facebook.
Fadhlina memberi jaminan tindakan sewajarnya akan diambil berdasarkan hasil siasatan pihak polis.
Beliau pada masa sama memberi amaran tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan terhadap penularan berita tidak sahih dan fitnah bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan seluruh warga pendidikan.
“Dalam kita mengharapkan keadilan bagi kes ini, jangan pula menganiaya orang lain. Berhentilah menyebarkan berita yang tidak sahih,” katanya lagi.
BACA JUGA ADUN Pas di Terengganu kena sekolah lepas dakwa ekonomi negara bawah PMX teruk