Malaysia putuskan tidak laksana cukai barangan mewah
Malaysia secara rasmi tidak akan meneruskan pelaksanaan cukai bernilai tinggi (HVGT).
Perkara itu disahkan Kementerian Kewangan (MOF) dalam jawapan bertulisnya, memaklumkan cukai HVGT tidak diteruskan, yang sebelum ini dikenali sebagai cukai barangan mewah.
Namun, elemen-elemen HVGT telah dimasukkan ke dalan rejim cukai jualan yang telah ditambah baik, di mana barangan mewah dan bukan keperluan kini dikenakan cukai pada kadar 5 peratus atau 10 peratus.
“Kerajaan telah mengambil beberapa langkah di bawah cukai langsung dan cukai tidak langsung untuk mengukuhkan kutipan hasil negara,” katanya dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen hari ini.
Ia sebagai menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang ingin mengetahui unjuran peningkatan hasil negara susulan pelaksanaan pembaharuan reformasi fiskal.
Antara pembaharuan tersebut termasuklah cadangan HVGT, Cukai Barangan Digital (DGT), Cukai Keuntungan Modal (CGT), Cukai Barangan Nilai Rendah (LVGT), serta peluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST).
Cadangan HVGT pada asalnya diumumkan dalam Belanjawan 2023 yang disemak semula dan dibentangkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Februari 2023.
Ia dijangka dikenakan pada kadar antara 5% hingga 10%, dan diunjurkan menjana hasil tahunan sebanyak RM700 juta kepada perbendaharaan negara. Kerajaan sebelum ini menyasarkan pelaksanaan HVGT pada 1 Mei 2024.
Namun, rancangan tersebut mengalami kelewatan susulan bantahan daripada pemain industri, terutamanya dalam sektor barang kemas, yang memberi amaran bahawa ambang nilai yang rendah boleh menjejaskan industri secara serius.
Walaupun kerajaan membatalkan pelaksanaan HVGT secara khusus, MOF menjangkakan kutipan hasil negara akan meningkat secara signifikan menerusi pelbagai langkah cukai baharu dan peluasan dasar sedia ada.
Cukai Keuntungan Modal (CGT), yang berkuat kuasa mulai 1 Mac 2024, dijangka menjana kira-kira RM800 juta setahun berdasarkan jumlah dan nilai semasa transaksi saham tidak tersenarai.
Peluasan skop SST, yang berkuat kuasa pada 1 Julai 2025, dijangka menyumbang tambahan RM5 bilion pada tahun 2025, dengan jumlah ini dijangka berganda kepada RM10 bilion menjelang 2026.
Bagi LVGT, yang diperkenalkan pada 1 Januari 2024, MOF melaporkan bahawa ia telah menjana kira-kira RM500 juta hasil cukai sepanjang tahun 2024.
“Semakan kadar cukai jualan dan peluasan skop cukai perkhidmatan yang mula berkuat kuasa pada 1 Julai 2025, dijangkakan memberi pertambahan hasil sebanyak RM5 bilion bagi tahun 2025 dan berganda kepada RM10 bilion bagi tahun 2026.
“Manakala, penyasaran subsidi diesel setakat ini, telah menjana penjimatan dana kerajaan sehingga RM600 juta sebulan,” katanya.
BACA JUGA Fadhlina tepis tuduhan dakwa beliau tidak bertindak kes adik Zara