Tsunami muncul ‘trending’ penangan gempa bumi paling kuat sejak 73 tahun

Tsunami muncul sohor kini di aplikasi X penangan gempa bumi hari ini yang paling kuat sejak 1952 di wilayah terpencil di Russia.

Satu video yang dimuat naik di media sosial Russia menunjukkan bangunan-bangunan di sebuah bandar ditenggelami air laut.

Turut tersebar rakaman CCTV memaparkan gegaran kuat yang berlangsung beberapa kali di sebuah premis perniagaan.

Kelihatan seorang petugas di premis berkenaan sempat menyelamatkan diri dengan bersembunyi di bawah meja.

Gelombang tsunami setinggi sehingga empat meter merentasi Lautan Pasifik itu juga mengakibatkan pemindahan penduduk dari Hawaii hingga ke Jepun.

Lapor AFP, gempa 8.8 magnitud itu berlaku pada jam 8.24 pagi waktu tempatan (2304 GMT Selasa) di luar pesisir Petropavlovsk di semenanjung Kamchatka Russia.

Menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS), ia merupakan antara 10 gempa paling kuat yang pernah direkodkan.

Media Russia mengesahkan tsunami telah melanda dan membanjiri bandar pelabuhan Severo-Kurilsk dengan ombak setinggi antara tiga hingga empat meter.

Sementara itu, Pusat Amaran Tsunami Pasifik memberi amaran tentang gelombang tsunami sehingga setinggi tiga meter di atas paras air pasang mungkin berlaku di Hawaii, Chile, Jepun dan Kepulauan Solomon.

Amaran tsunami di perairan Pasifik yang mengundang risiko bencana alam dari Hawaii hingga ke Jepun.

Gelombang melebihi sembilan meter pula berkemungkinan melanda sebahagian kawasan di Rusia dan Ecuador.

Amaran tsunami pada masa ini berkuat kuasa untuk Hawaii dan sebahagian pantai California Utara.

BACA JUGA Dua kesalahan ini amat membimbangkan, Wadah seru henti guna Qunut Nazilah sebagai alat politik