AMANAH gesa KDN, ROS teliti penggunaan nama Islam dalam parti politik
AMANAH Terengganu menyambut baik langkah SIS Forum (Malaysia) menggugurkan perkataan Islam dalam nama pertubuhan mereka, yang dianggap sebagai satu keputusan terbaik supaya nama Islam tidak digunakan sesuka hati.
Naib Pengerusinya, Zamir Ghazali berkata, sudah tiba masanya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (ROS) meneliti secara serius soal penggunaan perkataan Islam dalam nama pertubuhan, khususnya parti politik.
Berbeza dengan institusi kewangan seperti Bank Islam yang beroperasi di bawah kerangka undang-undang iaitu Islamic Financial Services Act, beliau berkata, parti politik tidak mempunyai sebarang sandaran undang-undang khusus.
“Mereka hanya mendakwa berpaksikan al-Quran, Sunnah, Ijmak Ulama dan Qias, namun amalan dan dasar mereka adalah tafsiran sendiri yang boleh dipertikai.
“Keadaan ini menimbulkan risiko besar apabila nama Islam dijadikan perisai untuk kepentingan politik kepartian.
“Jika berlaku penyalahgunaan, nama Islamlah yang tercalar dan umat Islam keseluruhannya yang akan menanggung akibatnya,” katanya dalam satu hantaran di sosial media.
Jika perlu kata Zamir, hal ini wajar dibawa ke perhatian Majlis Raja-Raja Melayu agar pandangan dan titah baginda dapat menjadi panduan tertinggi dalam menjaga kesucian nama Islam.
Beliau berkata, langkah tegas ini akan memastikan nama Islam dipelihara daripada dieksploitasi, dan pada masa yang sama memperlihatkan kesungguhan kerajaan dalam menghormati titah Sultan Selangor serta menjaga maruah agama di mata rakyat dan dunia.
“AMANAH Terengganu menggesa Menteri Dalam Negeri mengambil inisiatif segera untuk membincangkan perkara ini bersama ROS,” ujarnya.
Terdahulu, Pengarah Eksekutif SIS Forum, Rozana Isa, mengumumkan keputusan NGO berkenaan mengubah nama mereka selepas mendapat persetujuan dalam mesyuarat agung luar biasa mereka pada 11 Julai lalu.
“Mulai sekarang, kami akan dikenali sebagai SIS Forum (Malaysia) iaitu nama berdaftar pertubuhan ini,” katanya dalam kenyataan.
BACA JUGA Puad tanya bila Pas nak contohi SIS Forum, gugur nama Islam