AMANAH kecam karikatur sindiran Fadhli Shaari, dakwa tidak berakhlak dan rosakkan imej Islam

FOTO BERITA: Laporan Polis & Sidang Media oleh Pengarah Mobilisasi Amanah Nasional YB Tuan Abbas Salimi Che Azmi merangkap ADUN Sri Serdang mengenai karikatur Ketua Penerangan PAS Pusat, YB Ahmad Fadhli Shaari merangkap Ahli Parlimen Pasir Mas, di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Selangor. 30hb Julai 2025 (Rabu)

SHAH ALAM, 30 Julai 2025 (Rabu) – Parti Amanah Negara (Amanah) hari ini mengecam tindakan Ketua Penerangan PAS Pusat, Ahmad Fadhli Shaari, berhubung hantaran karikatur berunsur sindiran yang dimuat naik di media sosialnya baru-baru ini, dengan menyifatkan perbuatan tersebut sebagai tidak berakhlak dan berpotensi mencetuskan kebencian.

Pengarah Komunikasi Amanah, YB Abbas Salimmi Che Adzmi @ Azmi, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Serdang, berkata perbuatan tersebut bukan sahaja mencemarkan nama individu tertentu, malah merosakkan imej parti PAS dan agama Islam yang sering dibawa oleh wakil-wakil rakyatnya.

“Apa yang dibuat ini bukan hanya merosakkan namanya sahaja, rosakkan parti Pas, tapi juga rosakkan nama Islam kerana mereka ini sering bawa slogan Islam. Orang yang buat begini adalah orang yang tidak berakhlak, mempunyai masalah mental mungkin,” katanya kepada media selepas mengetuai Biro Mobilisasi Amanah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam hari ini.

Karikatur yang dimaksudkan itu memaparkan tiga watak haiwan – kambing, biri-biri dan monyet – sedang berebut pisang, dengan seekor monyet digambarkan sebagai ‘hakim’ dalam pertikaian tersebut. Hantaran itu turut disertakan kapsyen: “Kambing dan biri-biri seeloknya tidak perlu kepada monyet untuk menjadi orang tengah dalam kes berebut pisang.”

“Orang yang buat begini adalah orang yang tidak berakhlak, mempunyai masalah mental mungkin dan saya usulkan (cadangkan) kepada Speaker Dewan Rakyat buat pemeriksaan kesihatan mental kepada terutama kepda ahli Parlimen pembangkang,” katanya selepas mengetuai Biro Mobilisasi Amanah membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam.

Walaupun hantaran tersebut telah dipadam selepas menerima kritikan orang ramai, Abbas menegaskan bahawa ia telah mencetuskan keresahan awam dan boleh dianggap sebagai satu bentuk hasutan yang berbahaya. “Saya kira laporan polis ini sangat perlu dan kita minta siasatan dibuat di bawah Akta Hasutan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia. Ini bukan orang biasa buat, ini Ahli Parlimen yang membawa imej Islam. Tidak seharusnya keluarkan kata-kata sebegini rupa,” tambahnya.

Beliau turut menggesa agar pihak berkuasa bertindak tegas dan segera menjalankan siasatan menyeluruh, bagi memastikan tidak berlaku penyebaran kandungan media sosial yang boleh menggugat keharmonian dan ketenteraman awam.