Beras tempatan dah ada tapi tak laku termasuk di Jualan Rahmah
Permintaan terhadap bekalan beras tempatan kurang mendapat sambutan ramai biarpun sebelum ini timbul banyak desakan supaya kerajaan mengembalikan bekalan beras putih itu.
Mendedahkan perkara itu, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Fuziah Salleh berkata, beras putih tempatan juga tidak laku apabila dijual pada program Jualan Rahmah.
“Cuma satu, sebelum ini rakyat bising berkenaan ketiadaan beras tempatan, bising betul-betul seolah-olah kerajaan gagal menyediakan beras tempatan.
“Tetapi apabila beras tempatan itu penuh di pasar raya, tak laku. Jualan Rahmah pun tak laku beras tempatan,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan dari Suhaizan Kaiat (PH-Pulai) mengenai naratif kenaikan harga barang membebankan rakyat.
Beliau tidak menafikan bahawa kenaikan harga barang akan membebankan, namun perkara itu sangat subjektif kerana orang ramai masih lagi memenuhi pasar raya dan kedai-kedai makan.
Fuziah berkata, daripada pengamatan pihaknya, senario itu mungkin kadang-kala diuar-uarkan secara berlebihan tetapi tidak dinafikan memang masih ada yang terkesan.
BACA JUGA MP Pas mohon maaf, akui khilaf tuduh PM pakai baju batik Indonesia