Karikatur ‘hakim monyet’: AMK Klang dakwa Fadhli cemar imej negara di mata dunia

FOTO BERITA… Laporan Polis & Sidang Media oleh Shahrul Adnan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Klang mengenai karikatur Ketua Penerangan Pas Pusat, Fadhli Shaari di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam, Selangor. 30hb Julai 2025 (Rabu)

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) Klang, Shahrul Adnan, hari ini tampil membuat laporan polis terhadap Ketua Penerangan PAS Pusat, YB Ahmad Fadhli Shaari, berikutan penyiaran satu karikatur berunsur sindiran yang disifatkan sebagai menghina peranan rasmi Malaysia dalam misi diplomatik serantau.

Menurut Shahrul, hantaran media sosial oleh Fadhli – yang memaparkan ilustrasi seekor monyet berjubah hakim menjadi orang tengah antara kambing dan biri-biri – merupakan satu sindiran keterlaluan terhadap usaha kerajaan Malaysia dalam memainkan peranan sebagai pemudah cara konflik antara Thailand dan Kemboja.
“Sebagai sebuah negara yang kini mempengerusikan ASEAN, Malaysia membawa suara keamanan dan kestabilan. Sindiran seperti ini tidak hanya memperlekehkan Perdana Menteri selaku wakil rasmi negara, malah mencemar reputasi Malaysia di mata dunia,” tegas beliau.

Shahrul (gambar) turut menekankan bahawa tindakan Fadhli itu bukan sahaja melampaui batas kesopanan politik.
Malah, ia berpotensi menggugat hubungan diplomatik dan menyemai kebencian dalam kalangan rakyat, khususnya golongan muda.
“Sebagai Ketua AMK Klang, saya tidak boleh berdiam diri apabila imej negara dan usaha diplomatik yang ikhlas dipermainkan dengan karikatur sinis yang tidak bertanggungjawab. Ini bukan soal perbezaan politik semata-mata, ini soal maruah negara,” katanya lagi.

Sehubungan itu, Shahrul menyeru pihak berkuasa untuk segera menyiasat dan mengambil tindakan sewajarnya terhadap hantaran tersebut di bawah undang-undang berkaitan hasutan, komunikasi jelik dan keselamatan awam.
Beliau turut mengajak semua pihak, tanpa mengira fahaman politik, untuk bersama-sama menolak budaya politik kebencian dan memperjuangkan wacana yang lebih sihat dan membina demi masa depan negara.

Sementara itu dalam kenyataan media AMK Selangor menyifatkan hantaran tersebut sebagai “biadab, tidak bertanggungjawab, dan menghina usaha diplomatik negara”, terutama ketika Malaysia kini mempengerusikan ASEAN dan berperanan sebagai pemudah cara dalam menyelesaikan konflik sempadan antara kedua-dua negara jiran itu.

Gambar berunsur sindiran yang dimuat naik oleh Fadhli memaparkan seekor monyet berjubah hakim yang menjadi orang tengah antara kambing dan biri-biri, yang menurut AMK Selangor jelas bertujuan mengejek peranan Perdana Menteri Malaysia dalam misi damai tersebut.
Dalam suasana yang memerlukan kepercayaan dan diplomasi, tindakan seperti ini bukan sahaja memperlekehkan usaha kerajaan, malah mencemarkan nama baik Malaysia di mata dunia.

AMK Selangor juga menegaskan bahawa perbuatan sedemikian bukan sahaja tidak patriotik, malah berisiko meretakkan hubungan diplomatik Malaysia dengan negara jiran dan menjejaskan imej serta kedaulatan negara di peringkat antarabangsa.
Selain itu, AMK turut mengkritik budaya politik kebencian yang menurut mereka semakin melampau, terutamanya apabila melibatkan pemimpin politik yang menjadi contoh kepada generasi muda.