RMK13 serlahkan iltizam kerajaan perkukuh agromakanan negara

Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) yang dibentangkan oleh Perdana Menteri hari ini memperlihatkan iltizam kerajaan untuk terus memberi perhatian terhadap sektor agromakanan sebagai salah satu tunjang penting pembangunan negara.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, kementeriannya menyambut baik tumpuan yang diberikan kepada sektor tersebut dalam RMK13, termasuk langkah-langkah ke arah keterjaminan makanan negara yang kukuh dan mampan.

Antara langkah utama yang diumum termasuklah perluasan pembangunan kawasan pengeluaran makanan berimpak tinggi, dan pembukaan tanah terbiar untuk pertanian makanan.

“Ini akan meningkatkan keupayaan negara dalam mengurangkan kebergantungan kepada import.

“Kerajaan juga akan mempercepatkan proses pemodenan sektor agromakanan melalui penggunaan teknologi pintar, automasi dan kecerdasan buatan.

“Pendigitalan sektor ini akan meningkatkan kecekapan serta menjadikan pertanian sebagai kerjaya masa depan yang berdaya saing,” katanya dalam satu perkongsian di Facebook.

Dalam masa yang sama, Mohamad berkata, petani, penternak dan nelayan akan terus diberi sokongan melalui subsidi bersasar, kemudahan pembiayaan dan skim jaminan pasaran bagi hasil pertanian.

“Inisiatif ini penting untuk menjamin pendapatan yang lebih stabil dan berpatutan kepada penggiat industri makanan,” ujarnya.

Tegas beliau lagi, RMK13 bukan sahaja tentang merancang, tetapi mengatur langkah-langkah konkrit bagi memastikan makanan rakyat terjamin, sumber makanan negara lebih mampan, dan penggiat sektor agromakanan diberdayakan sepenuhnya.

BACA JUGA Sidang DUN Kelantan cuma separuh hari, Mohd Amar nafi kerajaan takut soalan pembangkang