Tiga kaedah tanah wakaf didaftarkan kepada MAIN

Terdapat tiga kaedah tanah wakaf didaftarkan di bawah Kanun Tanah Negara kepada Majlis Agama Islam Negeri (MAIN) atau Wilayah Persekutuan.

Kaedah pertama ialah pindah milik tanah dengan menggunakan Borang Pindahmilik (Borang 14A) yang dibuat antara tuan punya (pewakaf) dan MAIN (penerima wakaf) secara sukarela.

Kedua ialah penyerahan sebahagian atau keseluruhan tanah berimilik menggunakan Borang 12A (keseluruhan tanah) di bawah seksyen 197 atau Borang 12B di bawah seksyen 200 Akta 828 (sebahagian tanah);

Ketiga pula melalui Perletakhakan statutori yang mana menggunakan Borang Perletakhakan Statutori (Borang 30A atau 30B) melalui penguatkuasaan seksyen berkenaan perletakhakan di bawah undang-undang wakaf yang sedang berkuatkuasa.

Perkara ini didedahkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Islam) Senator Datuk Dr Naim Mokhtar dalam jawapan bertulis beliau kepada Zulkifli Ismail (PN-Jasin) yang meminta pelan nasional kerajaan untuk menyelaras dan mempercepatkan proses pendaftaran wakaf seluruh negara, khususnya tanah yang masih belum berstatus rasmi di bawah MAIN.

Usaha – usaha mempercepatkan proses pendaftaran tanah wakaf yang sedang dilaksanakan oleh MAIN adalah seperti berikut:

  • Melaksanakan aktiviti pemutihan rekod-rekod lama tanah wakaf yang sebelum ini diwakafkan secara lisan terutama bagi tanah-tanah yang diwakafkan sebelum merdeka;
  • Bekerjasama dengan Pejabat Tanah dan Daerah serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) bagi memudahcara dan melicinkan pendaftaran tanah-tanah wakaf; dan
  • Mempertingkatkan kempen kesedaran kepada masyarakat agar proses pewakafan tanah mesti dilaksanakan bersama MAIN sepenuhnya tanpa melalui pihak ketiga yang tidak mendapat kelulusan MAIN.