Dakwaan kerajaan berkompromi isu halal dengan AS tidak benar – Zafrul

Kerajaan menepis dakwaan bahawa kononnya Malaysia telah berkompromi dalam isu standard halal ketika rundingan tarif timbal balas dengan Amerika Syarikat.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, dakwaan kerajaan berbuat demikian untuk memenuhi permintaan AS adalah tidak benar sama sekali.

Menurutnya, kerajaan sama sekali tidak akan berkompromi dalam isu halal, malah semua produk AS yang mahu masuk ke dalam negara masih perlu mematuhi standard halal yang ditetapkan JAKIM.

“Apa yang sudah dipersetujui dengan AS hanyalah untuk memudahkan proses pengimportan daging halal ke Malaysia. Proses ini akan dikendalikan oleh Agensi Peraturan Halal AS.

“Namun begitu, semua produk yang diimport masih perlu mematuhi piawaian halal Malaysia yang ditetapkan oleh JAKIM.

“Sekiranya tidak memenuhi standard JAKIM, produk berkenaan tidak akan dibenarkan masuk ke Malaysia,” katanya dalam sidang media hari ini.

Semalam, akhbar bahasa Inggeris melaporkan yang Malaysia bersedia untuk mengiktiraf pensijilan halal AS bagi beberapa produk, termasuk farmaseutikal, yang berkemungkinan akan menghapuskan keperluan produk AS untuk mendapatkan pengesahan halal daripada JAKIM.

Ia juga menyatakan yang Malaysia bersedia untuk membekalkan unsur nadir bumi kepada AS dengan memanfaatkan simpanannya yang melebihi 16 juta tan bernilai dianggarkan RM1 trilion.

Namun tegas Tengku Zafrul, kerajaan tidak akan sama sekali mengalah dalam isu halal atau apa-apa yang boleh menjejaskan dasar halal negara.

BACA JUGA Faiz puji RMK13, suntikan tepat untuk sektor perikanan negara